Khamis, 30 April 2015

GST: Restoran pertama didakwa

 
Sebuah restoran mamak didakwa mengeluarkan 2,000 invois yang tidak mengandungi maklumat yang ditetapkan mengikut peraturan kepada pelanggannya antara 7 hingga 11 April.


restoran

 
SHAH ALAM: Restoran Hameed Corner di Seksyen 16 menjadi premis perniagaan yang pertama dihadapkan ke mahkamah atas kesalahaan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) 2014, sejak ia dilaksanakan pada 1 April lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, restoran itu didakwa mengeluarkan 2,000 invois yang tidak mengandungi maklumat yang ditetapkan kepada pelanggannya antara 7 hingga 11 April.

Wakil pemilik restoran itu, Raja Bunesh Begum Kamarudeen, 38, tidak mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen, pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Rozela Raja Toran dan Hazril Harun memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM100,000 terhadap wakil pemilik restoran itu.

Peguambela tertuduh, Cullin Andrew, bagaimanapun berhujah bahawa kes itu tidak memerlukan penjamin kerana ia kes saman.

Selepas menimbang hujah kedua-dua belah pihak, Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan RM15,000 untuk ikat jamin dan sebutan semula kes itu pada 25 Mei.

Tiada ulasan: