Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar
 
 
 
ALOR SETAR - Pelaksanaan GST didakwa ada kaitan dengan krisis kewangan negara yang semakin meruncing.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan kerajaan itu dilihat seolah-olah antara jalan singkat untuk menampung pendapatan wang negara yang kian merosot.

Menurutnya, pihaknya kesal apabila rakyat menjadi mangsa akibat kegagalan kerajaan BN mentadbir secara berhemah.

“PR sudah menentang pelaksanaan GST ini sejak mula ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, namun ia tetap dilaksanakan. Adakah kerana negara sedang mengalami krisis kewangan yang parah?,” katanya.

Mahfuz yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen Pas berkata, tindakan itu ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus, kerana kerajaan meminta rakyat berhemah dan berubah sikap dalam berbelanja sebaliknya kerajaan tidak memberikan contoh terbaik dalam membelanjakan wang rakyat yang diamanahkan.

“Pelaksanaan GST ini memberi impak besar kepada segenap lapisan masyarakat, sama ada mereka yang tinggal di bandar sehinggalah di ceruk kampung. Rakyat yang berpendapatan rendah yang paling sengsara kerana kos sara hidup mereka meningkat akibat pelaksanaan GST ini,” katanya.

Katanya, diharap rakyat dapat menilai sejauh mana keikhlasan BN dalam mentadbir, sehingga  menjadikan rakyat sebagai mangsa bagi menampung kesilapan dan kegagalan mereka.

“Diharap kesan daripada pelaksanaan cukai baharu ini akan menjadi ingatan atau pembakar semangat untuk rakyat membuat perubahan pada PRU14 akan datang,” katanya.

Mahfuz yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah turut menyelar kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad yang disifatkan membuat kenyataan tidak rasional apabila meminta ‘rakyat tinggal di bulan jika tidak mahu membayar GST’.