Rabu, 8 April 2015

Faekah diarah bayar balik RM2.7 juta

 
MBI dalam proses memulakan prosiding mahkamah terhadap lapan bekas pembantu Abdul Khalid kerana enggan memulangkan wang pampasan


Faekah Husin



SHAH ALAM: Salah seorang pembantu kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah diminta memulangkan semula wang pampasan berjumlah RM2.7 juta.

Faekah Husin berkata, notis tuntutan oleh firma guaman yang dilantik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu amat mengejutkannya.

“Saya telah terima dua notis tuntutan iaitu daripada pihak pengurusan MBI dan firman guaman yang dilantik MBI.

“Bagaimanapun saya keliru kerana notis daripada firma guaman itu meminta saya memulangkan wang pampasan berjumlah RM2.7 juta,” katanya.

Faekah merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Abdul Khalid.

Dia yang mewakili 7 bekas pegawai Abdul Khalid yang dipecat berkata, tindakan MBI membawa kes itu ke mahkamah amat dialu-alukan untuk membersihkan nama mereka yang telah didakwa dengan tuduhan tidak berasas.

“Kami mengalu-alukan proses ini untuk membersihkan nama yang telah tercemar. Kami yakin mahkamah akan memutuskan bahawa pembayaran pampasan dilakukan secara sah seperti yang ditetapkan mengikut Skim Pemisahan Sukarela (VSS),” katanya.

Dia mengulas kenyataan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang memaklumkan MBI dalam proses memulakan prosiding mahkamah terhadap lapan bekas pembantu Abdul Khalid kerana enggan memulangkan wang pampasan yang telah diterima.

Beliau berkata, kerajaan negeri tetap berpendirian pembayaran wang pampasan tersebut tidak mengikut prosedur dan melanggar peraturan kewangan negeri.

Tiada ulasan: