MALAYSIAKINI
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul yang
mengutuk pemenjaraan penasihat ekonomi negeri itu, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Usul yang dibawa oleh Dr Xavier Jayakumar (PKR- Sri Andalas) itu dibuat
bagi mengutuk pendakwaan yang didakwanya bermotif politik terhadap ketua
umum PKR itu.
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mendakwa, apa yang berlaku ke atas Anwar tidak dilakukan secara adil.
Azmin turut meminta supaya proses keadilan di negara ini dapat dilaksanakan dengan telus.
Datuk Sulaiman Razak (BN-Permatang) kemudian mencelah dan meminta
penjelasan daripada Azmin berhubung bekas menteri besar Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim yang juga didakwanya tidak mendapat keadilan sewajarnya.
"Kalau sebut pasal keadilan, Pelabuhan Klang (Khalid) tak pernah dapat
keadilan pun, tetapi dipecat (daripada PKR)," kata Sulaiman.
Azmin kemudian membidas perkara itu dengan meminta Sulaiman membawa
Khalid ke dalam sidang DUN berbanding hanya menulis status di laman
Twitternya.
"Saya tak kata tak adil (isu berkaitan Khalid). Usul ini tentang Anwar
Ibrahim, bukan Khalid Ibrahim. Pelabuhan Klang juga perlu mendapat
keadilan.
"Kalau isu Pelabuhan Klang kita boleh buat satu forum (tetapi) dengan
syarat datang dalam Dewan. Duduk depan itu, saya boleh berdepan dengan
dia sebab dia (Khalid) pun sekarang kawan Permatang, bawalah dia datang.
Jangan main tweet saja," sindir Azmin.
Selain usul mengutuk penangkapan Anwar, usul oleh Mat Nazeri Mat Dahlan
(BN-Batang Kali) yang meminta kerajaan negeri meneruskan perbincangan
perjanjian penstrukturan semula industri air bersama kerajaan
persekutuan juga diluluskan.
Bagaimanapun, usul yang dibawa oleh Sulaiman yang meminta kerajaan
negeri memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan persekutuan bagi
meneruskan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara Expressway (Kidex)
ditolak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan