Sabtu, 11 April 2015

Dua maut, 5 cedera dipanah petir

MALAYSIAKINI


Dua lelaki maut manakala lima yang lain cedera termasuk seorang kritikal selepas dipanah petir ketika berteduh daripada hujan di kawasan kuil yang dalam pembinaan di Batu Kawan semalam.

Mereka yang maut dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu ialah pekerja kilang dikenali sebagai N.Arumugam, 42, dan peniaga V.Sivaperumal, 56.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) DSP Shariffudin Abdullah berkata mereka mati di tempat kejadian kerana melecur teruk akibat dipanah petir.

"Mayat dua lelaki berkenaan dihantar di Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata lelaki yang kritikal dikenali sebagai S. Gunasegaran, 44, dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Empat lagi yang cedera, yang berusia antara 35 hingga 48 tahun, dirawat di Hospital Sungai Bakap dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Ketika kejadian, tujuh lelaki berkenaan berteduh di kuil itu kerana hujan lebat dan angin kuat.

"Dipercayai kebanyakan mereka baru pulang dari kerja," katanya. - Bernama


 

Tiada ulasan: