Khamis, 16 April 2015

Dr M terkejut Umno sokong 'hudud PAS'

MALAYSIAKINI


 


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terkejut dengan pendirian Umno Kelantan menyokong rang undang-undang hudud dibentang PAS dalam dewan undangan negeri baru-baru ini.

Menulis dalam blognya, Dr Mahathir berkata, hudud dibawa PAS itu tidak menepati kehendak Islam kerana tidak mempertahankan keadilan seperti dituntut dalam al-Quran.

Selain mempertikaikan peruntukan hukuman yang ditetapkan dalam rang undang-undang itu, Dr Mahathir turut berkata, hudud berkenaan diperkenalkan untuk kepentingan politik Umno dan PAS.

"Nawaitu orang Islam semasa membuat ibadah amat penting. Jika niat semasa solat, tawaf dan sai ialah untuk senaman, ia tidak lagi menjadi ibadah.

"(Oleh) kerana hudud PAS mempunyai niat menang pilihan raya, maka ia tidak lagi Islam," katanya.

Disebabkan dua alasan itu, kata Dr Mahathir, undang-undang dilulus Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak boleh diterima sebagai hukum hudud Islam.

Sebaliknya, kata beliau, jika dikenakan ke atas orang bukan Islam ia akan ditentang dan huru-hara akan berlaku.

Katanya, mengandaikan langkah memelihara imej Islam sama ada di kalangan orang bukan Islam atau Islam tidak penting adalah salah.

"Islam berkembang meluas dahulu kerana imej tamadun yang didiri oleh orang Islam begitu cemerlang sehingga memikat hati orang bukan Islam.

“Orang Melayu menerima Islam kerana kejayaan dan kehandalan peniaga Islam dari Negara Arab dan India," katanya.

Menurut Dr Mahathir, melakukan sesuatu atas nama Islam kerana kepentingan lain adalah bercanggah dengan kehendak agama itu sendiri.

"Saya harap mereka (Umno Kelantan) faham apa yang mereka lakukan," katanya.


Tiada ulasan: