Rabu, 22 April 2015

DAP desak kerajaan batal konsesi loji janakuasa 1MDB

tony_pua

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membatalkan semua konsesi loji janakuasa yang diberikan kepada 1MDB, dan bukannya membenarkan firma sarat hutang itu mendapat keuntungan daripada rakyat dengan menaikkan tarif elektrik.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua merujuk laporan The Edge Financial Daily, bahawa Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan kenaikan tarif kepada loji kuasa solar 50MW 1MDB daripada 41 sen bagi setiap kWh kepada 50 sen per kWh.

“Ini merupakan kenaikan sangat besar (whopping) 22 peratus tarif elektrik dalam tempoh setahun selepas projek itu dianugerahkan secara runding terus.

“Bekalan kuasa akan dijual kepada Tenaga Nasional, yang seterusnya akan memindahkan beban kos kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming pada 20 April lalu berkata, kenaikan tarif 50 sen lebih tinggi daripada 49 sen yang dianugerahkan baru-baru ini kepada loji kuasa tenaga solar lebih kecil antara 10 MW dan 30 MW.

Manakala The Edge Financial Daily menedahkan, 1MDB dalam proses ‘melupuskan’ bidaan yang dimenangi mereka bagi loji janakuasa arang batu 2,000MW kerana kekurangan dana dan masalah hutang.

Ujar Tony,, TNB perlu memperoleh konsesi daripada 1MDB dan pengeluar tenaga nasional itu akan dibenarkan untuk merundingkan tarif yang ditetapkan sebelum ini.

“Sekali lagi, ini bermakna keuntungan lebih tinggi kepada 1MDB yang tidak melakukan apa-apa selain daripada menjual konsesi, sedangkan rakyat perlu membayar kadar elektrik lebih tinggi kepada TNB,” ujarnya.

Sebab itu katanya, semua tawaran kuasa kepada firma pelaburan bermasalah itu patut dibatalkan dan diberikan kepada syarikat lain melalui tender terbuka dan telus.

“Syarikat-syarikat yang paling kukuh dari segi kewangan dan berpengalaman yang membida pada kadar tarif terendah harus dianugerahkan kontrak,” tegasnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: