MALAYSIAKINI
Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin berpandangan, para penyokong
Datuk Seri Najib Razak kini mungkin hanya menunjukkan sokongan yang
dibuat-buat kepada perdana menteri itu.
Menurut bekas penasihat ekonomi negara itu, anggota Umno sememangnya
akan menyatakan sokongan kepada presiden yang berkuasa pada masa itu.
Daim bagaimanapun memberi amaran bahawa tindakan ini mungkin tidak mencerminkan sentimen sebenar anggota berkenaan.
“Kalau (seseorang) menjadi presiden, ada kuasa, di hadapan memang mereka
sokong. Di belakang kita tidak tahu. Umno ini caranya memang begitulah
“Kalau depan dia taat setia kepada pemimpin tetapi sampai satu ketika
apabila panik, mereka mendesak. Itu cara Umno," katanya dalam satu
temubual bersama Malaysia Gazette.
Daim memberi contoh perdana menteri sebelum ini, Tunku Abdul Rahman dan
Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut menerima sokongan ahli, namun tetap
digulingkan
"Macam Tunku Abdul Rahman, Tun Abdullah Ahmad Badawi, apabila sampai masanya, baru mereka ambil tindakan.
“Mungkin Umno masih yakin tetapi tidak senang hati sebab-sebab keadaan sekarang. Itulah yang kita takut terlambat," katanya.
Beliau mengulas mengenai sokongan yang disuarakan beberapa pemimpin Umno
dan BN ke atas Najib ekoran serangan terbuka oleh bekas perdana
menteri, Tun Dr Mahathir.
Mahathir antara lainnya membangkitkan mengenai pentadbiran dana
1Malaysia Development Bhd (1MDB), pembelian jet mewah oleh kerajaan dan
juga pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Menyentuh isu 1MDB, sekutu kuat Mahathir itu berkata, wujud konflik
kepentingan apabila perdana menteri turut mempengerusikan lembaga
penasihat firma yang dibelenggu hutang itu.
“Ia akan wujudkan konflik. Kalau menteri kewangan (buat) kesilapan, dia
juga perdana menteri, hendak marah tidak boleh, hendak buang tidak
boleh.
“Kalau menteri kewangan orang lain, kita boleh ambil tindakan. Sekarang
ini memang susahlah sebab menteri kewangan adalah penasihat kepada 1MDB.
Ini masalah besar.
“Saya pun tidak tahu, patut beliau fikir sedalam-dalamnya apa yang baik kepada negara,” katanya lagi.
Katanya, siasatan ketua audit negara ke atas 1MDB tidak sepatutnya
mengambil masa yang lama kerana jabatan itu mampu menyiasat pelbagai
syarikat berkaitan kerajaan dalam tempoh setahun.
Katanya, kelemahan nilai ringgit dan kemerosotan keyakinan pelabur juga
disebabkan tindakan kerajaan yang berbolak-balik dalam beberapa isu,
termasuk 1MDB.
“Mungkin pasaran tidak percaya kepada kerajaan dan salah satu sebab mungkin disebabkan 1MDB.
“Selagi pasaran tidak yakin, tidak percaya, ringgit akan lemah.
Bagaimana hendak bagi orang percaya kalau asyik bagi jawapan yang tidak
betul?” soalnya.
Daim memberi contoh kenyataan 1MDB sebelum ini yang menafikan bahawa
jutawan Tan Sri T Ananda Krishan Daim membantu firma tersebut melunaskan
hutang.
Kerajaan bagaimanapun mengaku di Parlimen bahawa ia sememangnya meminjam wang daripada Ananda.
“Macam mana orang mahu percaya. Kalau asyik beri jawapan salah akan timbul lagi banyak persoalan?,” soalnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan