Khamis, 9 April 2015

Bapa gadis gaduh dengan pemandu teksi didakwa

MALAYSIAKINI


Bapa kepada tiga beradik yang bergaduh dengan seorang pemandu teksi di kawasan stesen minyak di Shah Alam akhir bulan lepas, hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di Shah Alam atas tuduhan mencederakan pemandu teksi itu.

Syed Fareid Yahya, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Lelaki itu, yang bertugas sebagai ketua Jabatan Sumber Manusia di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, didakwa mencederakan Azmi Mat Mokhtar, 54, di hadapan Pejabat Pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Persiaran Kayangan, Seksyen 9 di Shah Alam kira-kira jam 4.30 petang pada 29 Mac lepas.

Syed Fareid didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N Parimalaah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000.

Peguam Azad Bashir yang mewakili Syed Fareid, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,500 atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat daripada tujuh anaknya.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin membenarkan Syed Fareid dibebaskan dengan jaminan RM2,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin lepas, Azmi mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan mencederakan tiga anak perempuan Syed Fareid dan merosakkan kereta Myvi milik mereka di Stesen Minyak Petron, Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di Shah Alam pada 29 Mac lepas.

Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes pemandu teksi itu.

Insiden pergaduhan Azmi dengan anak-anak perempuan Syed Fareid menjadi viral di laman sosial baru-baru ini. - Bernama


 

Tiada ulasan: