Afif Bahardin Afif Bahardin
 
 
GEORGETOWN - Beberapa isu besar akan dibangkitkan dalam kempen PRK Parlimen Permatang Pauh termasuk pelaksanaan GST yang dijangka menjadi senjata PR mempertahankan kerusi parlimen itu.

Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata, semuanya akan disebarkan kepada pengundi di kawasan berkenaan agar mereka lebih jelas berkaitan pelbagai isu terkini yang berlaku di negara ini.

“Saya percaya isu GST adalah isu besar yang menjadi kebimbangan rakyat," katanya.

Berhubung amaran Pas Permatang Pauh agar PKR tidak mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau ahli keluarganya untuk PRK Permatang Pauh atas alasan Presiden PKR itu menolak hudud, beliau berkata, PR masih mengamalkan pendekatan berbincang dan berbahas jika tercetus sesuatu isu.

Dr Afif yang juga Adun Seberang Jaya, salah satu daripada tiga kerusi Dun dalam parlimen Permatang Pauh berkata, amalan itu tidak pernah diketepikan kerana tidak ada mana-mana parti yang dominan dalam PR.

“Kekuatan dalam PR adalah setiap isu yang dibincang secara bersama ketiga-tiga parti adalah sama.

“Kita akan duduk sekali untuk bincang dan bahas, itu adalah amalan PR sejak dulu lagi. Tidak ada parti yang dominan antara satu sama lain, itu sangat jelas,” katanya.

Afif berkata, untuk PRK Permatang Pauh, semua parti berpadu tenaga bagi memastikan kemenangan PR.

“Di peringkat Pulau Pinang, mesyuarat jawatankuasa sekretariat PR dimulakan sejak kes Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan pada 10 Februari lagi. Kita bertemu dan adakan mesyuarat, gerak kerja dijalankan bersama.

“Untuk PRK ini, semua parti beri komitmen penuh malah Adun Permatang Pasir, Datuk Salleh Man Mat Aji sendiri mengetuai Dun Permatang Pasir untuk Pas dalam membantu PKR. Tiada istilah tidak sokong mana-mana calon yang dipilih,” katanya.

Dr Afif berkata, bukan hanya di Permatang Pauh ketiga-tiga parti memberi komitmen apabila adanya PRK.

“Kesemua parti dalam PR memberi komitmen sepenuhnya. Malah semua PRK yang kita hadapi selepas 2013 sebagai contoh di Teluk Intan, Pengkalan Kubor dan Kajang, semua turun padang membantu.

“Semua PRK kita hadapi dengan menganggap parti yang dipilih itu adalah mewakili PR dan calon yang dipilih juga mewakili PR,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Permatang Pauh, Jamsari Samad mengeluarkan kenyataan bahawa PR akan berdepan laluan sukar jika meletakkan Wan Azizah atau keluarganya untuk PRK Permatang Pauh pada 7 Mei nanti kerana isu hudud.