Rabu, 8 April 2015

Azmin ada pendekatan tersendiri tangani isu air - penganalisis [TONTON VIDEO]

 Oleh Nur Atiqah Abd Samad

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiap menteri besar mempunyai pendekatan tersendiri untuk memimpin kerajaan negerinya, begitu juga dengan Azmin Ali kata penganalisis politik, Dr Shaharuddin Badaruddin.
 
Malah beliau yakin Menteri Besar Selangor itu punya perspektif tersendiri dalam menangani isu air yang kini menjadi kontroversi antara kerajaan Persekutuan.
 
"Semua MB ada dia punya pendekatan atau cara dia, dalam konteks negeri Selangor kita kena tengok bukan sahaja nak selesai isu air tapi ada sorong tarik diantara kehendak kerajaan negeri dan kehendak kerajaan pusat. 
 
"Kita tak bolehlah terima segala-galanya daripada kerajaan Pusat untuk dipertimbangkan kerajaan negeri. Isu-isu air ni selalunya berkait rapat dengan kepentingan bersama, jadi dalam perbincangan itu kadang-kadang pendekatan antara mereka itu berbeza-beza," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ekoran gesaan bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid agar Azmin Ali meletak jawatan gara-gara gagal memuktamadkan isu air sehingga ke hari ini.
 
Ujar Khalid, Azmin perlu berundur supaya Kerajaan Selangor diketuai oleh individu yang lebih layak, pakar dan berpengalaman yang setaraf dengan status Selangor sebagai negeri termaju. 
 
Namun Shaharuddin dilihat kurang bersetuju dengan gesaan tersebut dan mahu Azmin diberi masa dan ruang untuk membuat keputusan.
 
Malah menurut beliau, sekalipun keputusan itu dicapai dalam masa yang singkat, belum tentu projek itu dapat disiapkan dengan segera.
 
"Bagi saya beri ruang kepada Azmin dan kepimpinan baru Selangor untuk buat keputusan kerana sebelum ini keputusan dibuat Khalid, jadi kemungkinan MB sekarang ni ada pendekatan-pendekatan sendiri untuk selesaikan masalah dia. 
 
"Jadi pada saya beri ruang dulu, jangan dipaksa-paksa urusan itu dilakukan dengan cepat kerana kalau dilaksanakan sekarang ni pun bukan selesai segera (tapi) dua tiga tahun akan datang," kata beliau yang kini berkhidmat di Universiti Selangor (Unisel).
 
Tambah beliau lagi, isu yang lebih penting kini adalah kebaikan hasil yang bakal dicapai dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan Pusat. 
 
"Yang melibatkan perbincangan akan memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat Selangor, lebih baik tumpu kepada itu. Lama-kelamaan akan ada titik pertemuan antara kerajaan Pusat dan negeri. Jadi bagi ruang perbincangan dulu," jelas beliau.
 
Azmin sebelum ini mengambil tindakan drastik membatalkan perjanjian itu kerana mendakwa Putrajaya mahu mengambil alih tanah dan aset Selangor yang dimeterai pada September lalu. 
 
Perkara itu dinafikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili dan menjelaskan isu tanah itu terkandung dalam perjanjian berkenaan.
 
Kemudian Azmin meminta campur tangan Datuk Seri Najib Razak, namun Perdana Menteri menegaskan untuk memberi mandat sepenuhnya kepada kementerian yang berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: