Sabtu, 11 April 2015

“Apa persediaan SESB atasi kekurangan 40 peratus tenaga di pantai timur Sabah?”

SESB
Gambar: Menara penghantaran elektrik 132kV di Segaliud – Dam Road yang tumbang

Roketkini.com


TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) digesa mendedahkan punca tumbangnya menara penghantaran elektrik 132kV Segaliud – Dam Road, kata Chan Foong Hin ADUN Sri Tanjong.

Menurut Foong Hin, kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 3.40 petang semalam mengakibatkan kawasan-kawasan di Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau bergelap.

“Bagaimana sebuah menara boleh tumbang? Punca-punca yang mungkin terlintas di fikiran saya ialah sama ada kecurian besi atau bahan binaan menara, atau pembinaan menara tersebut tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan,” kata Foong Hin dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan SESB, kapasiti penjanaan sedia ada hanya mampu menjana sehingga 137 MW, manakala penggunaan bekalan elektrik pula mencecah 160MW.

Ini bermakna sebahagian kawasan di Tawau terpaksa dicatu bekalan elektrik pada waktu puncak (peak demand), secara bergilir-gilir sehinggalah menara sementara siap didirikan yang dijangka awal minggu depan.

Manakala menurut sumber lain, keperluan bekalan elektrik di daerah Tawau pada waktu puncak ialah 90MW pada awal 2013, berikutan permulaan operasi Kubota Gas-fired Turbine Power Plant 64MW pada 2013 juga, kapasiti penjanaan di daerah Tawau mencecah 128MW.

Justeru itu kata Foong Hin, kejadian tersebut mengingatkan kepada keperluan pembinaan sebuah loji penjana kuasa di bahagian-bahagian Pantai Timur Sabah, terutamanya di Lahad Datu atau Tawau.
Tambahnya, sebuah loji janakuasa batu arang 300MW pernah dicadangkan pada tahun 2006, namun telah ditolak.

Difahamkan, Tenaga Nsional Berhad (TNB) bercadang membina sebuah loji janakuasa gas asli cecair (Liquidfied Natural Gas – LNG) 300MW bersama Petronas LNG regasification plant di Lahad Datu, namun cadangan tersebut digantung selepas berlaku insiden Tanduo di Lahad Datu pada 2013.

Selepas itu, loji janakuasa diputuskan untuk dipindah ke Sandakan dan sumber bahan api telah bertukar daripada LNG kepada gas, dengan kapasiti dinaikkan kepada 380MW atau 400MW, pada tahun lalu.

Media pada 13 September 2014 melaporkan, syarikat 1MDB berunding dengan SESB untuk membina Stesen Janakuasa Utama Gas tersebut, secara perkongsian bersama Yayasan Sabah dengan nisbah pegangan 75:25.

Dalam pada masa sama, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) menyatakan bahagian pantai timur Sabah akan menghadapi kekurangan tenaga 40 peratus pada tahun ini.

“Masalahnya, 1MDB dibelenggu skandal, seperti hutang mencecah RM42 billion. Macam mana syarikat yang berhutang dapat mengutamakan kepentingan rakyat?”

“Di manakah langkah-langkah persediaan SESB menangani masalah kronik tersebut, sedangkan Stesen Janakuasa Utama Gas cuma akan dibangunkan sehingga 2020? soal Foong Hin. – Roketkini.com


Tiada ulasan: