Jumaat, 10 April 2015

Altantuya: Tubuhkan RCI siasat motif pembunuhan

lim-kit-siang




KUALA LUMPUR: Hanya dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasasan Diraja (RCI) terhadap pembunuhan Altantuya Shaariibuu sahaja kredibiliti dan reputasi Najib sebagai Perdana Menteri dapat diselamatkan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, Najib tidak patut berlengah lagi dan mengambil langkah segera menubuhkan RCI bagi menyiasat motif pembunuhan, serta siapa yang memberi arahan kepada dua bekas komando polis terbabit, selain menyiasat pengendalian pihak-pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman dalam kes tersebut.

“Memandangkan Najib telah mengulangi bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pembunuhan wanita Mongolia itu, kenapa beliau begitu menentang cadangan siasatan penuh terhadap motif pembunuhan?

“Terutama sekali siapa yang memberi arahan kepada dua bekas komando polis untuk membunuh Altantuya dan meletupkan mayatnya dengan bahan peledak?” soalnya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyatakan, RCI tersebut akan menjadi proses penyembuhan bagi Malaysia, bukan saja mengembalikan keyakinan terhadap integriti dan profesionalisme institusi negara tapi kredibiliti di peringkat antarabangsa termasuk reputasi Najib dan kedaulatan undang-undang negara.

“Najib mesti proaktif dan tidak boleh terus bergantung kepada penafian dan sumpahnya saja jika mahu menyakinkan orang ramai serta dunia bahawa beliau langsung tidak ada kena mengena dengan pembunuhan Altantuya,” tegas Kit Siang.

Dalam rakaman wawancara bersama TV3 yang disiarkan semalam, Najib sekali lagi telah menafikan sebarang penglibatannya dalam pembunuhan Altantuya pada tahun 2006.

Ini berikutan soalan orang ramai dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanya siapa yang telah memberi arahan kepada Azilah dan Sirul untuk membunuh model Mongolia tersebut.

Najib menyatakan, beliau telah bersumpah sebanyak tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008 bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kes terbabit. – Roketkini.com


Tiada ulasan: