Rabu, 8 April 2015

Ahli PAS kena pilih untuk setia atau sokong PasMa

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Ahli PAS perlu memilih sama ada untuk setia bersama parti itu atau berpaling tadah, menyokong Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat.
 
Ujarnya keputusan itu harus dibuat ahli PAS yang selama ini secara diam-diam menyatakan sokongan kepada PasMa.
 
"Tetapi kalau ia sudah tubuh parti sebagai ahli PAS tidak boleh ada ahli memegang dua keanggotaan parti.
 
"Tak boleh satu orang ada keaggotaan dua parti, maknanya dia kena buat pilihanlah sama ada nak masuk parti baru atau setia dengan PAS," katanya kepada Antarapos.
 
PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama sebelum ini mengeluarkan arahan agar ahli parti itu tidak melibatkan diri dengan PasMa biarpun ianya hanyalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
 
"Kita ada buat satu keputusan dalam Majlis Syura Ulama yang mencadangkan ahli PAS supaya tidak terlibat dengan Pasma.
 
"Jadi saya kira itu sudah jelas kepada ahli PAS," katanya.
 
Suhaizan berkata demikian merujuk perkembangan terbaru PasMa yang kini sedang menimbang untuk menjadi parti politik.
 
Pengerusi PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi memberitahu pertimbangan itu dibuat selepas mendapat desakan dan sokongan dalam dan luar pertubuhan itu untuk mereka bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
PasMa sebelum ini dituduh mahu menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat ekoran hubungan parti Islam itu kini kian disisih rakan sekutu mereka, DAP dan PKR, berhubung beberapa isu, termasuk pelaksanaan hudud di Kelantan.
 
Mengulas perkembangan itu, Suhaizan berkata kehadiran PasMa sebagai parti politik tidak akan menggugat PAS.
 
"PasMa itu entiti luar parti, jadi terpulang pada dia punya urusanlah.
 
"Itu kita tunggu dan lihatlah, perkara ini tak boleh dijangka.
 
"Sebab politik sekarang ini sedang banyak perubahan, kita tak tahu apa yang akan berlaku untuk satu tempoh yang akan datang," katanya.
 
PasMa ditubuhkan pada 11 Ogos lalu ketika PAS dilanda konflik dalaman yang serius ekoran perbezaan pendirian dalam kalangan pemimpinnya berhubung krisis Menteri Besar Selangor.
 
PasMa yang dikatakan didalangi kumpulan Anwarinas dan sering mengkritik pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak disenangi oleh golongan ulama di dalam parti.


Tiada ulasan: