resit Gambar Hiasan
 
 
 
KUALA LUMPUR - Enam jenis bidang perniagaan mendaftar untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenal pasti melakukan kesalahan tertinggi berkaitan pengeluaran invois bercetak kepada pengguna.

Menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia, enam bidang perniagaan itu ialah restoran, kedai runcit atau pasar raya mini, kedai buku, pusat hiburan, farmasi dan kedai 'hardware' (perkasas binaan).

Pengarah Bahagian GST, Datuk T Subromaniam berkata kesemua yang mendaftar diwajibkan untuk memasang sistem pengkomputeran tempat jual (POS) mengikut piawaian di bawah Akta GST 2014.

"Kastam banyak menerima laporan daripada pengguna berhubung enam jenis perniagaan tersebut yang mengeluarkan resit bercetak atau bertulis tangan tanpa maklumat ditetapkan.

"Perkara itu menimbulkan keraguan kepada pengguna kerana tidak jelas dengan jumlah cukai dikenakan sehingga ada peniaga berpeluang mengambil kesempatan mengenakan caj bayaran dengan harga lebih mahal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Berdasarkan rekod, sejak 1 hingga 5 April, sebanyak 1,617 aduan diterima berkaitan GST, dan antara ketidakpatuhan tertinggi iaitu hampir 40 peratus ialah berkaitan invois cukai yang dikeluarkan peniaga berdaftar.

Subromaniam berkata proses transaksi yang tidak jelas seumpama itu, antara punca berlaku kekeliruan dalam kalangan pengguna terhadap pelaksanaan GST.  

"Arahan pemasangan POS kepada semua pemilik perniagaan bertujuan meningkatkan kecekapan proses jual beli secara sistematik dan lebih telus serta memudahkan peniaga merekod butir perniagaan mereka.

"Ia juga diyakini mampu melancarkan sistem percukaian GST kerana semua maklumat akan direkod, malah resit yang dicetak bersifat sah bagi tujuan pengauditan, membuat laporan serta rujukan bagi tindakan pihak berkuasa," katanya.

Sebelum ini, semua perniagaan berdaftar GST diberi tempoh sehingga 30 April, untuk memasang sistem itu, bagaimanapun hasil perbincangan dengan agensi terlibat ia dilanjutkan sehingga 30 September depan.   

"Selepas tempoh itu (30 September) semua perniagaan berkaitan, tidak dibenarkan sama sekali menggunakan resit bertulis tangan, kecuali jika berlaku kerosakan mesin POS atau ketiadaan elektrik, hanya resit bertulis tangan dalam bentuk pra-cetak yang lengkap dengan maklumat yang memenuhi peraturan GST sah digunakan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pihaknya menyokong arahan berkaitan invois bercetak itu.

"Berdasarkan pemantauan sejak bermulanya GST, kami mendapati banyak kesalahan berkaitan pengeluaran resit yang tidak mempunyai butiran betul, malah pengguna juga banyak melaporkan perkara sama," katanya.

Mohd Yusof berkata tindakan peniaga yang tidak mematuhi arahan GST, antara punca timbulnya kekeliruan.

"Masalah itu perlu diatasi segera, jika tidak pengguna semakin keliru serta mula sangsi apabila maklumat pada resit yang diterima tidak mengikut piawaian GST," katanya. - Bernama