Jumaat, 17 April 2015

33 rumah ibadat bukan Islam terima peruntukan RM363,700

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Kebajikan rumah ibadat bukan Islam di Selangor terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri melalui peruntukan kewangan kepada institusi itu.

Terbaru, Kerajaan Selangor menyerahkan cek sejumlah RM363,700 kepada 33 rumah ibadat Cina (tokong) untuk fasa pertama bagi pelaksanaan proses baik pulih dan kebajikan persatuan.

YB Teng sampaikan cek sumbangan kepada pengerusi persatuan tokong (3)

Majlis penyerahan cek disempurnakan Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Sementara itu, Teng berkata sumbangan itu sebahagian peruntukan tahunan kepada rumah ibadat bukan Islam berjumlah RM6 juta.

Katanya peruntukan tahunan itu ditingkatkan dua kali ganda mengatasi jumlah peruntukan sebelum ini iaitu RM3 juta.

“Untuk tahun ini, peruntukan diberikan kepada rumah ibadat mengikut peratusan penduduk di Selangor.

“Pemohon hendaklah mematuhi peraturan permohonan dengan mengisi borang yang disediakan dan kita buat pemilihan kepada keperluan sesebuah persatuan itu,” katanya.

Katanya bantuan ditawarkan itu menerima sambutan menggalakkan dari rumah ibadat bukan Islam seluruh negeri berikutan mendapat liputan meluas di media massa.

“Bagaimanapun, setiap persatuan layak memohon sekali sahaja dalam tempoh tahun sama untuk mendapatkan bantuan.

“Sekiranya mereka ingin memohon lagi (bantuan), mereka perlu tunggu tahun berikutnya,” katanya lagi.EZY


Tiada ulasan: