Rabu, 15 April 2015

1MDB: PKR dakwa Najib beri penjelasan berbeza

 
PM dikatakan membuat kenyataan bercanggah di Dewan Rakyat bahawa Jho Low tidak terlibat dengan dana 1MDB.


pkr najib jlo



PETALING JAYA : PKR mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan penjelasan berbeza kepada Pergerakan Pemuda UMNO berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam perjumpaannya baru-baru ini.

Kesangsian itu ditimbulkan Naib Presidennya Tian Chua apabila Najib dikatakan membuat kenyataan bercanggah di Dewan Rakyat bahawa Low Taek Jho atau Jho Low tidak terlibat dengan dana 1MDB.

“Saya tidak mengetahui apa yang Najib terangkan kepada Pemuda UMNO dalam perjumpaannya kerana kita tidak berada di sana. Kecuali Perdana Menteri menerangkan kepada Pemuda UMNO versi yang berlainan apa yang kita dengar bahawa Jho Low adalah dalang,” katanya pada sidang medianya di Ibu Pejabat PKR.

Mengulas lanjut , Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata penafian yang dilakukan oleh Jho Low selama ini konsisten dengan apa yang ditegaskan oleh Perdana Menteri bahawa ahli perniagaan itu tidak terlibat dengan 1MDB.

“Sekiranya, kamu (Pemuda UMNO) marahkan Jho Low kerana gelarkan UMNO ‘Spinmaster’ kenapa tidak saman sahaja beliau,” katanya.

Dia turut mempersoalkan sekiranya Pemuda UMNO telah berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri siasatan perlu dilakukan terhadap penglibatan Jho Low dalam 1MDB.

“Sepatutnya tuduhan yang dilakukan (Jho Low) itu adalah saman bukannya siasatan,” tegasnya.
Jho Low dalam satu temubual dengan majalah Euromoney mengkritik Pemuda UMNO kerana cuba menyalahkan beliau sebagai punca kegagalan 1MDB.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menggesa agar siasatan segera dilakukan terhadap penglibatan Jho Low dalam syarikat pelaburan yang kini dibebani hutang berjumlah RM42 bilion.

Tiada ulasan: