Rabu, 4 Mac 2015

Zahid digesa jelas status sebenar kewarganegaraan Raja Judi

 
Jika Paul Phua bukan lagi warganegara Malaysia, adakah beliau masih membantu Kerajaan Malaysia dalam projek-projek yang melibatkan keselamatan negara.


paul phua


PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan status kewarganegaraan sebenar Raja Judi, Paul Phua Wei Seng.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata, pada minggu lalu sebuah portal berita Montenegro, Vijesti menyatakan bahawa Paul Phua yang kini sedang didakwa di Mahkamah Daerah Nevada, Amerika Syarikat adalah seorang warganegara Montenegro.

“Laporan tersebut mengatakan beliau telah mendapat kewarganegaraan Montenegro di antara Oktober 2013 dan Oktober 2014, iaitu sebelum surat bertarikh 18 Disember 2014 ditulis Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI),” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, sekiranya laporan itu benar, status kewarganegaraan Paul Phua boleh dipersoalkan dan mempunyai implikasi yang amat serius.

Fahmi turut mempersoalkan adakah Paul Phua itu seorang warganegara Malaysia dan Zahid mengetahui status kewarganegaraan Raja Judi itu sewaktu menulis surat kepada FBI.

“Jika Paul Phua bukan lagi warganegara Malaysia, adakah beliau masih membantu Kerajaan Malaysia di dalam projek-projek yang melibatkan keselamatan negara,” soalnya lagi.

Pada 5 Januari lalu, sebuah portal berita melaporkan surat Zahid kepada FBI telah ditarik balik daripada satu perbicaraan di Mahkamah Daerah Nevada selepas Putrajaya membantah ia digunakan untuk pembelaan kes Paul Phua.

Phua menghadapi tuduhan di AS berhubung maklumat pertaruhan dan perniagaan perjudian haram.

Dalam surat 18 Disember 2014 itu, Zahid menulis kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano menyatakan Paul Phua bukan anggota kongsi gelap 14k Triad.

Tiada ulasan: