1MDB 1Malaysia Development Berhad
 
 
 
KUALA LUMPUR - Usul penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat syarikat pelaburan nasional 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena (Pas), Datuk Mahfuz Omar yang membawa usul tersebut kesal dengan jawapan tersebut yang diterimanya hari ini dengan alasan kerajaan sedang mengambil tindakan dan ia tidak perlu disegerakan.

"Alasan yang diberikan bergantung kepada apa yang dinyatakan oleh pihak kerajaan iaitu kerajaan telah mengambil tindakan dengan mengkaji semula ke atas penyata akaun 1MDB.

"Tindakan itu melalui pengauditan Jabatan Audit Negara dan kemudian akan dibentangkan kepada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara)," katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penolakan speaker Dewan Rakyat hari ini ke atas usulnya pada Selasa untuk menangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 18(1) dan (2) bagi membincangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas 1MDB.

Mengulas lanjut, beliau juga berkata kerajaan sendiri perlu membawa usul sama sepertimana usul lain untuk kepentingan umum seperti usul MH370 dan MH17.

"Sebab itu saya cadangkan tubuh RCI supaya ada kebertanggungjawaban yang telus dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.

"Kalau usul saya ini ditolak, saya fikir kerajaan sendiri perlu bawa usul seperti MH370 dan MH17, kemudian kita boleh mendukung bersama untuk kepentingan negara," ujarnya.

Mahfuz juga melahirkan kebimbangannya apabila Jabatan Audit Negara melakukan ke atas akaun 1MDB hanya memenuhi kehendak dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

"Kebimbangan kita ialah audit itu hanya sekadar memenuhi arahan untuk mengeluarkan satu sijil halal bagi semua pengurusan kewangan.

"Saya lihat bahawa tidak wajar hanya untuk Jabatan Audit Negara yang buat tetapi ia juga perlu dilakukan oleh suruhanjaya bebas," katanya lagi.