Jumaat, 13 Mac 2015

Untung melampau perlu dibasmi




Oleh EDGAR ONG

 
TIDAK sampai setahun lalu, sebelum kenaikan terakhir harga minyak, kos bagi secawan kopi-O adalah munasabah iaitu 80 sen, dan semangkuk mi kolok atau laksa pula antara RM3 hingga RM4.

Hari ini, lebih 80 peratus pemilik kedai kopi di Sabah dan Sarawak telah menaikkan harga antara RM1 hingga RM1.20 bagi secawan kopi-O, dan antara RM4 hingga RM6 bagi mi kolok dan laksa. Kebanyakannya tanpa menambah bahan tambahan!

Tanpa pengecualian, mereka katakan bahawa sukar untuk bertahan ekoran kenaikan harga minyak dan kos buruh.

Hanya dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20-25 sen, dan katakanlah kenaikan RM50 atau RM100 bagi pekerja buruh, pekerja kedai telah memutuskan untuk menaikkan harga makanan mereka sebanyak 25-35 peratus!

Kebanyakan mereka yang bekerja merasa kesannya apabila pendapatan boleh guna mereka sudah pun digunakan untuk bayaran bulanan tempat tinggal, kenderaan, bil utiliti, internet dan telefon. Dan jika sudah bekeluarga, kos menyediakan makanan, pakaian dan pendidikan kepada anak mereka.

Rakyat biasa negara ini sememangnya tidak memerlukan perbelanjaan lebih dan tidak munasabah ini, yang memang dibuat sewenang-wenang pada mulanya.

Pertama, di manakah penguatkuasaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan apabila kita memerlukan mereka?

Bukankah merekalah yang sepatutnya menjalankan kawalan ketat ke atas peniaga yang menyeleweng dan mengambil kesempatan di atas setiap kenaikan kos minyak dan buruh, walaupun sedikit? Bukankah mereka yang sepatutnya melindungi kepentingan warga biasa – pengguna seperti anda dan saya?

Di laman rasmi Kementerian itu, bahagian di mana pengunjung boleh meninggalkan komen – di sebelah kiri dengan nama “Public Complaints” (PCB) langsung tidak boleh dibuka! Ada juga bahagian “Feedback and Enquiry” yang memerlukan pengunjung meninggalkan pertanyaan dengan janji maklum balas tidak melebihi tiga hari.

Bagi negara yang berbangga dengan semangat “boleh”nya dan ingin mencapai “Wawasan 2020” menuju masyarakat yang moden dan maju, kegagalan untuk menjaga warga daripada menjadi sasaran peniaga yang tamak dan ingin mengaut untung melampau memanglah memalukan, walaupun peniaga ini kelihatan kecil dan tidak relevan.

Kerap kali saya melihat laporan di akhbar dan televisyen yang menunjukkan pegawai penguatkuasa daripada kementerian itu menyerbu dan mendenda peniaga yang meletakkan harga beberapa sen lebih tinggi daripada yang ditetapkan – namun dalam kes ini, kadar kenaikan harga makanan dan minuman yang rawak tidak boleh diabsahkan hanya dengan kenaikan kecil harga minyak dan tenaga kerja!

Dan paling penting, mungkin sudah tiba masanya pengguna sendiri yang bertindak dan berkata, “Cukuplah – kita perlu hentikan untung melampau” – bagi menunjukkan yang kita tidak akan terus menjadi mangsa lagi.

Anda boleh berbuat demikian hanya dengan berhenti ke restoran yang mengambil kesempatan, dan mencari peniagapeniaga yang mengekalkan harga dan mula makan di sana pula. Anda juga boleh bermula dengan mengurangkan kunjungan ke restoran dengan membawa bekal dari rumah ke tempat kerja.

Jika ramai yang sanggup bertindak, kita pasti akan dapat membuat perubahan.

Jumlah perniagaan kedai kopi dan penjaja ini pasti akan mula menurun dan keuntungan mereka akan menurun. Ini diharap akan membuka mata mereka dan menyedari ketamakan diri sendiri, dan akhirnya menurunkan harga makanan dan minuman mereka ke tahap yang lebih munasabah.

Tiada ulasan: