Isnin, 16 Mac 2015

'Umno sokong hudud bukan petanda k'jaan perpaduan'

MALAYSIAKINI


 


Persetujuan Umno Kelantan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri PAS bagi meluluskan enakmen hudud, bukan petanda pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.

Ketika menegaskan demikian, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa rakan-rakan Pakatan Rakyat - DAP dan PKR - supaya tidak membiarkan isu itu memecahkan gabungan itu.

Beliau menegaskan demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

"Namun jangan pula bila Umno menyatakan sokongan kepada enakman tersebut, maka itu jadi petanda Umno akan bergabung dengan PAS.

"Kerana perkara wajib bagi umat Islam, ianya mesti sama dari sudut penerimaan dan beriman dengannya dan mesti disokong," tulis Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim memberi contoh mengenai pendirian yang senada antara pemimpin Pakatan dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu 1MDB.

"Apakah bila Tun Mahathir menyerang 1MDB sebagaimana kita menyerang Najib, lalu kita buat kesimpulan Mahathir akan menyertai Pakatan Rakyat?

"Ada perkara yang menjadi hak bersama, dan ada perkara yang kita berbeza. Umno/BN tetap menjadi 'musuh' bersama," tegas Tuan Ibrahim lagi.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS dijangka membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Rabu ini.

Persidangan DUN Kelantan bermula hari ini hingga Khamis ini selepas ditangguhkan pada 29 Disember tahun lepas berikutan banjir besar yang melanda negeri ini.

Kemelut di antara PAS dan DAP berlaku setelah Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo meminta parti itu mempertimbangkan semula pindaan itu.


Tiada ulasan: