Rabu, 11 Mac 2015

Tuan Ibrahim diseru tarik balik penolakan

MALAYSIAKINI


 


Seorang tokoh ulama dalam PAS merayu kepada Tuan Ibrahim Tuan Man agar menimbang semula hasratnya menolak pencalonan kerusi presiden.

Ahmad Awang, bekas pesuruhjaya PAS Perak yang pernah menganggotai Majlis Syura, berkata naib presiden PAS itu harus mengutamakan jamaah dan tidak wajar menghampakan ahli akar umbi.

"Beliau kena menghargai ahli-ahli yang melihat seorang yang mempunyai wibawa untuk mengambil tempat jawatan presiden," katanya.

"Nasihat saya, pertimbangkan semula, jangan hampakan harapan orang. Mungkin ramai akan calonkan beliau lagi," tambahnya, yang pernah memegang jawatan naib presiden PAS.

Tidak sampai 24 jam selepas pencalonannya dibuat oleh PAS Kota Bharu, Tuan Ibrahim menolaknya dengan menyatakan ikrarnya untuk terus mendukung kepimpinan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Biarlah orang lain kata 'tidak bersetuju' dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak berkata begitu," katanya semalam.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Ahmad (kanan) berkata Tuan Ibrahim seorang calon yang layak menerajui PAS kerana beliau mempunyai latar belakang pendidikan agama dan masih muda.

Berbanding pemimpin atasan lain dalam PAS, bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dilihat mewakili kepemimpinan ulama, kata Ahmad.

"Beliau seorang (bekas) pensyarah pendidikan Islam dan berkelulusan (pengajian) Islam. Orang melihat beliau tetap mewakili kepimpinan ulama," katanya, yang lama memimpin Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Timbalan presiden Mohamad Sabu dan dua lagi naib presiden PAS, Husam Musa dan Salahuddin Ayub, bukan berpendidikan agama.

Ahmad menambah, masih awal untuk Tuan Ibrahim membuat keputusan menolak pencalonan itu kerana mesyuarat kawasan baru sahaja bermula.

"Nasihat saya, eloklah jangan menolak. Beliau kena fikir (kepentingan) jamaah. PAS ada lebih 100 kawasan. (Mesyuarat) ini baru bermula.

"Jangan terus berkata 'tidak layak'. Kalau (menolak) macam itu, (pencalonan) naib presiden pun tidak payah (ambil). Naib-naib presiden atau timbalan presiden - mereka ini pemimpin yang layak jadi presiden," katanya.

Ditanya sama ada beliau berminat menerajui PAS, Ahmad berkata beliau mahu pemimpin lebih muda sedangkan beliau sendiri sudah berusia 79 tahun.


Tiada ulasan: