Khamis, 19 Mac 2015

TMB: Hukuman seks luar tabii tak digugurkan

MALAYSIAKINI



 
 
 
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan bahawa hukuman untuk kesalahan melibatkan perlakuan seks luar tabii tidak digugurkan dalam Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan hari ini.

Sebaliknya, hukuman bagi kesalahan melibatkan perlakuan tersebut – seks lesbian, seks dengan mayat dan haiwan – dimasukkan dalam kategori sama dengan dengan kesalahan liwat, katanya.

Jelasnya, pengguguran Seksyen 19 hingga 21 dalam pindaan tersebut tidak bermaksud bahawa kesalahan berkenaan kini boleh dilakukan.

"Kita tidak boleh sebut semua (lesbian, melakukan seks dengan mayat dan haiwan) sebab benda itu semua masuk dalam liwat (seks luar tabii).

“Gugur perkataan tidak mengapa, yang penting hukuman itu ada. Jangan faham macam itu (gay, lesbian itu semua boleh dilakukan). Itu masalahnya, kita tidak faham dengan betul.

"Bukan soal digugurkan ke macam mana, soalnya hukuman liwat itu kekal. Bila hukuman liwat kekal, itu meliputi semua itu.

“Gay, lesbian semua masuk atas kesalahan liwat itu sendiri, itu sudah cukup," katanya lagi, yang merupakan pengerusi jawatankuasa teknikal Kanun Jenayah Syariah II.

Menurut pindaan baru itu, hukuman bagi kesalahan meliwat ialah sama seperti zina iaitu rejam sampai mati jika pesalah sudah berkahwin (mohsin).

Pesalah yang didapati belum berkahwin (ghairu mohsin) pula akan dihukum dengan sebatan sebanyak seratus kali dan dipenjarakan selama setahun.

Murtad dihukum mati

Beliau turut menjelaskan mengenai perbezaan dalam yang timbul bagi hukuman kesalahan murtad, dalam deraf pindaan antara versi bahasa Melayu dan Inggeris.

Katanya, kedua-dua versi deraf tersebut memperuntukkan hukuman yang sama, iaitu bunuh.

"Bukan beza (hukuman), hakikatnya (hukumannya) sama. Hukuman bunuh adalah 'death penalty', hukuman hudud bagi kesalahan murtad itu mati juga cuma perkataan sahaja yang berbeza

"Jadi (akan) diselaraskan versi Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris, (selepas ini) dipakai hudud juga dalam (versi) Bahasa Inggeris. Supaya tak ada yang keliru, dan wartawan (tidak) bermasalah.

"Itu sebenarnya betul. Maksud sama, hudud untuk murtad hukumannya mati," jelas Mohd Amar kepada pemberita selepas sidang DUN di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Deraf sedia ada dalam bahasa Inggeris menyatakan bahawa hukuman bagi kesalahan murtad adalah hukuman, sekiranya pesalah tidak bertaubat selepas dipenjarakan.

Manakala versi bahasa Melayu hanya menyatakan bahawa mahkamah perlu menjatuhkan “hukuman hudud” sekiranya pesalah tidak bertaubat.

DUN Kelantan meluluskan cadangan pindaan ke atas Kanun Jenayah Syariah II dengan sebulat suara hari ini.


 

Tiada ulasan: