Selasa, 24 Mac 2015

Tidak perlu singkir Hadi – Khalid Samad

 
DAP sepatutnya berjiwa sebagai negarawan yang bersedia untuk berhubungan dengan semua orang walaupun ada sedikit perbezaan.


khalid samad pas_300


KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad mempertahankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan berkata, kerjasama dan hubungan antara PAS DAP boleh diteruskan tanpa perlu menyingkirkan Presiden PAS itu.

Sehubungan itu beliau menyifatkan masalah yang timbul sekarang lebih merupakan masalah peribadi antara Presiden PAS dan DAP.

“Itu masalah dengan personaliti dan kita perlu lihat bagaimana untuk menanganinya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau berharap rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) memahami keadaan PAS dan kerajaan Kelantan.

Ahli Parlimen Shah Alam mengulas mengenai keperluan menyingkirkan Hadi Awang berikutan keputusan DAP yang telah memutuskan segala kerjasama dengan Presiden PAS itu.

“Tidak perlu singkir Abdul Hadi. Kalau tidak boleh bekerjasama dengan presiden, boleh berurusan dengan orang lain. PAS dengan presiden bukan satu. PAS ialah PAS dan presiden ialah presiden,” jelas beliau.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Hadi Awang tidak pernah bersengkokol dengan UMNO dalam membawa Enakmen Undang-undang Syariah atau Hudud ke Parlimen.

Katanya, DAP juga pernah menyokong usul yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) ketika di Dewan Rakyat.

“Janganlah hanya kerana rang undang-undang persendirian, DAP nak menganggap kita ikut UMNO. DAP pernah menyokong isu yang di bawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai MH17, mereka tidak termakan dengan pujukan perdana menteri dan BN,” jelasnya.

Mahfuz berkata, sebagai ahli Parlimen, seharusnya DAP bijak mengurus perbezaan yang wujud antara kedua-dua parti itu.

“Bagi saya barisan di hadapan DAP adalah pemimpin senior, yang mempunyai pengalaman yang lama dalam politik.

“Jadi sepatutnya mereka berjiwa sebagai negarawan yang bersedia untuk berhubungan dengan semua orang walaupun kita ada sedikit perbezaan tertentu,” ujarnya.

Tiada ulasan: