Sabtu, 7 Mac 2015

Tiada apa yang disembunyikan

Kita perlu berhati-hati bagi kenyataan kerana setiap perkataan pun akan disalahtafsir.


azharuddin


KUALA LUMPUR: Menangani persepsi dan teori kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 adalah cabaran terbesar Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sejak ia dilapor hilang setahun lepas.

Ketua Pengarah Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, tanggapan masyarakat tempatan dan dunia kononnya agensi penerbangan negara itu menyembunyikan maklumat ‘ditelan bulat-bulat’ saban hari dan ditempelak dengan fakta dari deretan pakar.

“Bukan penipuan, tiada apa yang disembunyikan. Ramai syaki kita sembunyi sesuatu. Ramai tidak percaya, tapi apa yang kita keluarkan (kenyataan) dan jawab (sidang akhbar) adalah kebenaran yang dikumpul dari pakar penyiasat tempatan dan antarabangsa,” katanya, lapor Bernama.

Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

MAS kehilangan 12 anak kapal serta seorang kakitangan MASkargo.

Pada 29 Jan, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawankesemua 239 orang yang menaiki pesawat dianggap telah terkorban.

Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia juga menegaskan bahawa usaha mencari pesawat itu tetap menjadi keutamaan.

Jelas Azharuddin, apa sahaja teori dan dakwaan yang membawa kepada petunjukbpencarian telah disiasat pihaknya, pasukan pencari dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) walaupun ada kalanya ia mengarut dan tidak masuk akal.

“Kita ada pasukan komunikasi yang akan duduk berbincang siang dan malambsetiap hari untuk mengeluarkan kenyataan bagi menjawab persoalan dan pelbagai teori atau petunjuk keberadaan pesawat.

“Kita perlu berhati-hati bagi kenyataan kerana setiap perkataan pun akan disalahtafsir walaupun kita bagi kenyataan yang betul. Kita sentiasa fokus dengan apa yang kita buat dan tidak lari dari tanggungjawab,” tambahnya.

Sementara itu, Azharuddin berkata, pastinya banyak yang boleh dipelajari pelbagai pihak termasuk DCA dan syarikat penerbangan dunia tentang apa yang berlaku kepada pesawat malang tersebut.

Katanya, apa yang paling ketara adalah dengan memperkenalkan pengesanan pesawat pengangkutan udara komersial mengikut masa nyata yang standard.

Beliau berkata, ini antara lain bagi memudahkan untuk mengesan mana-mana pesawat secara tepat pada masanya.

Menurutnya, langkah keselamatan ini telah dicadangkan kepada ICAO untuk perhatian lanjut dan badan antarabangsa itu akan mengeluarkan laporan akhir mengenainya pada Ogos nanti.

Tiada ulasan: