Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
 
 
 
BAGAN DATOH - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan tidak ada mana-mana ahli politik sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang yang didapati terlibat dengan gerakan kumpulan militan Islam (IS).

Beliau juga berkata berdasarkan semakan maklumat yang diperoleh, tiada anggota parti sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang terlibat dengan gerakan itu.

"Saya telah mendapat pengesahan daripada kebanyakan kepimpinan parti bahawa mereka juga tidak menyokong sebarang penglibatan ahli mereka dengan gerakan militan IS.

"Jika terdapat anggota parti pembangkang atau kerajaan yang terlibat, maka mereka akan dipecat daripada parti berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan memancing anjuran Gerakan Belia 4B Parlimen Bagan Datoh di pantai Kampung Pasang Api di sini.

Ahmad Zahid juga berkata kerajaan tidak pernah menyembunyikan sebarang maklumat berhubung isu keselamatan kerana ia merupakan perkara yang serius.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penggubalan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) mendapat reaksi positif semua parti politik.

"Ini memperlihatkan satu contoh komitmen yang cukup baik daripada semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang," katanya.

Ahmad Zahid berkata penggubalan Pota tidak dituju kepada mana-mana ahli politik yang berbeza fahaman atau yang mempunyai pendirian bertentangan dengan kerajaan.

"Undang-undang ini digubal semata-mata untuk menangani masalah keganasan, bukan menangani masalah perbezaan politik dan ia juga bukan sebagai gantian kepada penghapusan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), Ordinan Darurat 1969 atau Akta Kediaman Terhad 1933," katanya.
Pota, yang digubal khusus bagi menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan IS, akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat bulan ini. - Bernama