Isnin, 9 Mac 2015

Takzir Terengganu pada Islam saja, tegas MB

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman menegaskan bahawa undang-undang takzir negeri itu, antaranya melibatkan peraturan pakaian, hanya tertakluk kepada umat Islam sahaja.
 
Beliau justeru menggesa semua pihak termasuk bukan Islam untuk menghormati penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) 2001 melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)
 
“Ini kerana, kita sedar sebaik kita mengumumkan pelaksanaan ini (enakmen jenayah syariah) ramai yang menyuarakan pendapat, di mana ada yang bersetuju dan sebaliknya.
 
"Tetapi saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilaksanakan ini adalah untuk kebaikan umat Islam tanpa menggugat bangsa lain,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Teganukita.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu DiRaja Malaysia (RAMD) Kem Sri Pantai, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
 
Kenyataan Razif secara tidak langsung mengetepikan gesaan pihak konservatif seperti penceramah Ridhuan Tee Abdullah yang mahu undang-undang itu diperluas kepada bukan Islam.
 
Teganukita juga melaporkan bahawa Razif terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak berhubung perkara itu tetapi “tidak akan tunduk dengan kecaman segelintir pihak yang tidak bersetuju”.
 
Terengganu sebelum ini menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 yang antaranya melarang kelakuan tidak senonoh, membonceng tanpa ikatan keluarga, tidak solat Jumaat bagi lelaki dan berpakaian tidak sopan di tempat awam.
 
Ridhuan: Tiada agama benarkan
 
Ridhuan dalam kolumnya di Sinar Harian hari ini mencadangkan supaya undang-undang pemakaian terhadap orang Islam turut dikenakan kepada bukan Islam di Terengganu.
 
Katanya, tindakan itu, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi, harus diambil atas dasar keadilan.
 
“Barulah adil. Tidak ada alasan berpakaian seksi dan berkelakuan tidak senonoh.
 
“Tidak ada agama yang membenarkannya,” katanya dalam kolum itu.
 
Ridhuan menolak kritikan yang menyamakan tindakan itu sebagai  “Talibanisasi” kerana ia kemahuan majoriti umat Islam di situ dan bertujuan “memanusiakan manusia”.
 
“Jika tidak suka, duduk diam-diam. Majoriti umat Islam tinggal di sini mereka mahukannya, seperti umat Islam di Kelantan mahukan hudud.
 
“Lagipun bukan negeri kamu,” katanya lagi dalam tulisan itu. - MALAYSIAKINI
 
 

Tiada ulasan: