Rabu, 11 Mac 2015

Tabah dan sabarnya keluarga Anwar




Oleh ABD SHUKUR HARUN


TOKOH penting tanah air – Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih terus diingati, sementara DS Anwar Ibrahim yang kini merengkuk dalam penjara akan juga terus diingati.

Diingati bukan semata-mata kerana nama besar mereka, tetapi juga terutamanya kerana usaha mereka menjadi besar.

Mereka berjuang untuk menegakkan Islam yang di dalamnya juga merangkumi perjuangan menegakkan keadilan. Untuk itu, saya teringat kata-kata Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor bahawa, “Apabila kita bersama memperjuangkan kebenaran dan keadilan maka itu bermakna kita sudah menang”.

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dikenang sebagai pelaksana politik Islam dengan konsep ‘Muwajahah Silmiyah’ – politik cara damai - sementara Allahyarham Ustaz Fadzil juga berjuang atas konsep yang sama, di samping mencetuskan idea membina jambatan antara PAS dengan parti lain menerusi Tahaluf Siasi.

Sementara itu, DS Anwar Ibrahim berjuang menentang kezaliman untuk menegakkan kezaliman di lapangan sejak zaman remajanya lagi. Beliau telah membayar dengan mahalnya harga perjuangan ini dengan merengkuk di dalam penjara Sungai Buloh.

Sebab itu ketiga-tiga tokoh ini akan terus diingati walaupun Allahyarham Ustaz Fadzil dan Tuan Guru Nik Abd Aziz telah mengadap Ilahi, sementara DS Anwar Ibrahim di dalam penjara.

Demikianlah kehidupan dan perjuangan dan inilah yang menentukan seseorang itu sama ada memberi manfaat kepada orang lain, atau sebaliknya.

Tiga tokoh yang saya sebutkan tadi ternyata iaitu kehidupan dan perjuangan mereka telah memberi manfaat kepada orang lain dan inilah yang dituntut oleh Islam kepada umatnya. Di sinilah terletak kehebatan perjuangan tiga tokoh pemimpin itu, justeru mereka telah memberi manfaat kepada orang lain.

Tepatlah juga apa yang disebut oleh okoh pejuang hak asasi terkenal, terkenal, Nelson Mandela: "Real leaders must be ready to sacrifice all for the freedom of their people.”

Sementara itu, saya dengan penuh simpati dapat merasakan duka nestapa isteri DS Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-nya dalam menghadapi situasi yang sedemikian rupa.

Kita kagum dengan ketabahan dan kesabaran Wan Azizah dan anak-anaknya, justeru sebagai insan biasa, bukan mudah menghadapi situasi yang begini. Tetapi seperti kata Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, “Kezaliman itu ada, tetapi tidak akan kekal. Lambat atau tidak ia akan berakhir juga”.

Menurut hemat saya, keluarga Anwar ini adalah keluarga luar biasa, kerana berdepan dengan cabaran berat yang sedmikian rupa, tetapi masih sabar dan tabah.

Bayangkan bagaimana keluarga ini menghadapi situasi seberat ini, berpisah lagi bertahun-tahun antara anak-anak dan ayah, antara isteri dan suami. Tetapi itulah harga perjuangan yang telah mereka bayar dengan mahalnya. Namun perlu diingaat bahawa perjuangan itu tidak pernah sia-sia.

Kali terakhir saya bertemu DS Anwar - beberapa hari sebelum beliau dijatuhkan hukuman penjara - ketika saya menghadiri Pesta Buku Selangor di Shah Alam.

Saya makan semeja dengannya dan kelihatan beliau tenang saja. Saya bertanya kepadanya,
“Bagaimana menghadapi keadaan ini.” Beliau menjawan dengan suara bergetar, “Setakat ini saya diberikan kekuatan oleh Allah untuk tabah dan sabar. Insya-Allah. Doakanlah.”

Kini ternyata walaupun DS Anwar merengkuk dalam penjara kali kedua, rakyat yang mengerti akan nilai perjuangannya untuk menentang kezaliman dan menuntut kezaliman. Himpunan rakyat di ibu negara minggu lalu, malah di luar negara membuktikan hal ini.

“Saya akan bawa mesej rakyat yang berkumpul hari ini kepada Anwar di penjara,” kata Datuk Seri Wan Azizah.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata dengan berkumpulnya rakyat untuk menuntut kebebasan DS Seri Anwar, ia menunjukkan rakyat belum lupa lagi kepada Anwar.

“Orang tidak lupa Anwar. Hari ini kita lihat lautan manusia menentang kezaliman,” katanya kepada penyokong Anwar yang berkumpul di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.

Seramai 10,000 penyokong Anwar berkumpul di hadapan Kompleks Sogo menyokong desakan supaya Anwar dibebaskan.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata perjuangan oleh penyokong Anwar bukan untuk Anwar saja tetapi untuk rakyat menentang kezaliman.

“Kita akan terus menentang kezaliman dan seperti kata Anwar sebelum masuk penjara, “We Never Surrender”,” ujarnya.

Nurul Izzah berkata, ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah perlu diberikan ruang yang selesa selepas mengharungi perjuangan reformasi sejak 17 tahun lalu.

Di sini, nampaknya, isteri dan anak-anak Anwar berpadu bersama rakyat prihatin untuk meneruskan perjuangan tokoh ini.

"Sudah 17 tahun Dr Wan Azizah mengharungi perjuangan ini,” kata Nurul Izzah lagi dan menyambung, “Adik-adik kami sudah dewasa. Kalau Nurul Hana pada 1998 hanya 6 tahun, tetapi sekarang dapat membantu dengan lebih aktif.”

Sementara itu, seorang lagi anak Anwar mengumumkan pelancaran satu inisiatif kebangkitan bagi menuntut keadilan terhadap bapanya yang dipanggil “March to Freedom”.

Nurul Nuha berkata, kempen itu ialah kesinambungan perjuangan untuk membebaskan Anwar dan memberi suara kepada rakyat yang menghadapi kezaliman.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli akan menjadi ketua sekretariat kempen “March to Freedom” itu. Perincian tentangnya akan diumumkan kemudian setelah sekretariat itu dibentuk.

“Bagi pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan serta penyokong di dalam dan luar negara,” kata beliau.

Naampaknya rakyat prihatin turut berjuang untuk menentang kezaliman, kalau tidak jadilah seperti apa yang dikatakan oleh Napoleon Bonaparte: “The worls suffer a lot. Not because of the violonce of bad pepople, but because of the silence of good peope.”

Tidak ada manusia – sama ada yang berkuasa atau yang tidak berkuasa - yang tahu akan masa depannya, justeru semuanya dalam ketentuan Allah s.w.t. dan semua insan akan kembali kepada-Nya

Tiada ulasan: