Khamis, 19 Mac 2015

Syed Ali: MCA mahu berpisah? Silakan

MALAYSIAKINI


 


Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengalu-alukan hasrat MCA untuk keluar dari BN ekoran sokongan parti majoriti Melayu itu terhadap pelaksanaan hudud.

"Jika MCA berasakan sudah cukup kuat, tiada halangan untuk mereka berpisah dengan Umno, parti yang mewakili sebahagian besar orang Melayu," tegasnya.

"Kalau dah besar kepala, silakan, tetapi jangan nak hasut rakan-rakan lain dalam komponen Barisan Nasional (BN)," katanya dalam satu tulisan blog.

Beliau mengulas ancaman oleh bekas naib presiden MCA, Gan Ping Sieu yang menyeru parti tersebut, dan juga anggota komponen BN lain untuk memutuskan hubungan dengan Umno jika parti tersebut menyokong hudud di Parlimen.

Kenyataan Gan itu timbul ekoran tindakan Umno menyokong pindaan Rang Undang-Undang Syariah II 1993, yang memberi asas kepada pelaksanaan hudud di negeri itu.

Ia dijangka akan diluluskan dengan sokongan kedua-dua blok.

Selepas rang undang-undang itu diluluskan, pindaan perlu dibuat di peringkat Parlimen untuk membolehkannya dilaksanakan.

Syed Ali berkata, Umno tidak akan tunduk kepada ancaman MCA dan parti komponen itu juga tidak harus masuk campur kerana hudud hanya melibatkan orang Islam.

"Hari ini MCA ugut Umno, rentak mereka seperti DAP, parti perkauman," katanya.

Syed Ali juga memuji Umno Kelantan kerana menyokong seteru mereka, PAS dalam melaksanakan hudud di negeri itu.

Katanya lagi, hudud bukan satu agenda politik tetapi satu tanggungjawab bagi orang Islam.


Tiada ulasan: