Khamis, 12 Mac 2015

Sukar tangani isu perjanjian air: Azmin tiada pengalaman korporat - Faekah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar & Sharifah Azmawati Syed Abd Aziz

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Perbincangan bersabit perjanjian air antara Selangor dan kerajaan Persekutuan dilihat melalui jalan sukar apabila diselia oleh seorang menteri besar yang tiada pengalaman koporat, ujar bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin.
 
Bahkan bekas pembantu menteri besar terdahulu itu berkata percanggahan butiran perjanjian air itu juga tidak akan selesai dalam tempoh terdekat berikutan Azmin Ali dikelilingi oleh individu-individu yang mempunyai agenda tersendiri.
 
“Saya tidak mengatakan bahawa ia adalah satu tugas yang mudah untuk Azmin yang tidak mempunyai pengalaman korporat dan saya pasti agensi-agensi persekutuan dan pegawai-pegawainya tidak akan membuat ia mudah bagi kami kerana mereka mempunyai keutamaan yang berbeza. 
 
"Tetapi seperti yang kita (kepimpinan Tan Sri Khalid) telah membuktikan sebelum, negeri dan persekutuan berjaya mengetepikan perbezaan selepas bertelingkah antara satu sama lain selama enam tahun,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
 
Ujar Faekah, jika Azmin benar-benar meletakkan kepentingan rakyat dihadapan, beberapa percangahan dalam perjanjian air itu akan terus dibincang sehingga masing-masing bersetuju dan bukannya dengan nekad membatalkan akujanji itu begitu sahaja, seperti yang dibuatnya pada 9 Mac lalu.
 
“Ia adalah tidak sihat bagi kerajaan negeri untuk membatalkan perjanjian itu tanpa meletakkan usaha untuk menyelesaikan perbezaan. 
 
"Kita harus ingat rakyat Selangor menandatangani petisyen menyeru hak air dikembalikan kepada mereka dan itu adalah apa yang kita capai melalui HOD pada bulan September,” kata Faekah.
 
Azmin ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen Isnin lalu mengumumkan perjanjian air itu batal kerana kerajaan Persekutuan tidak menghormati semangat asal sewaktu perjanjian itu ditandatangani.
 
Keesokkan harinya, Azmin mengadakan sidang media juga di Parlimen dan menuduh kerajaan Persekutuan ingin merampas tanah dan kedaulatan Selangor apabila meminta tanah seluas 26 ribu kilometer milik kerajaan negeri dan batang paip Loji Rawatan Langat 2 (LRL2), yang sedang dalam pembinaan.
 
“Sekarang ni bukan sahaja paip kerajaan negeri, tetapi tanah kerajaan negeri juga harus diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.
 
“Saya tidak akan biarkan kedaulatan negeri ini tercemar. Tindakan menteri KeTTHA itu seolah-olah Kerajaan Persekutuan mahukan tanah seluas 26 ribu kilometer secara percuma,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak.   
 
Namun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata mengikut persetujuan awal, kerajaan negeri hanya akan memajak tanah  itu kepada kerajaan Persekutuan untuk tempoh 45 tahun sahaja dan bukannya terus mengambil alih aset Selangor itu.
 
Azmin bagaimanapun menukar nada pada lewat petang Selasa dan berkata sedia membuka pintu perbincangan berhubung isu air dengan kerajaan persekutuan demi manfaat pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
 
Namun kata beliau, perkara berkenaan akan tercapai sekiranya kerajaan persekutuan bersetuju untuk mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air milik negeri, serta tidak membuat tuntutan yang bercanggah dengan semangat perjanjian yang telah dimeterai.
 
Mengulas lanjut, Faekah memberi amaran bahawa rakyat akan menjadi mangsa kepada percaturan politik yang dimainkan Azmin bersabit isu ini.
 
“Mengapa ini penting kepada rakyat? Penyusunan semula industri air bermakna berakhirnya perjanjian berat sebelah dengan syarikat-syarikat konsesi air. Itulah gambaran yang lebih besar.
 
“Rakyat Selangor mesti tahu akibat daripada keputusan kerajaan negeri, paling penting, rakyat hilang peluang untuk memiliki industri air. Yang keduanya negeri perlu membayar tunggakan PF kenaikan tarif air sejak 2009 berjumlah hampir RM2.2billion.
 
“Manakala program air percuma mungkin akan  dihapuskan kerana ia tidak lagi dapat membiayai kos kerana ia tidak memiliki industri air sementara syarikat-syarikat konsesi boleh meneruskan perjanjian berat sebelah dan kenaikan tarif akan berlaku berikutan perjanjian konsesi.
 
“Bahkan negeri boleh kehilangan RM2 bilion yang dijanjikan oleh Persekutuan bagi meningkatkan perkhidmatan air dan mengurangkan non-revenue water (NRW),” katanya.
 
Menerusi perjanjian yang dimeterai, Selangor berjaya menjimatkan sekurang-kurangnya RM2 bilion apabila hanya perlu membayar RM7.65 bilion sahaja berbanding RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di Selangor.
 
 

Tiada ulasan: