Suhakam kesal polis tahan Nurul Izzah Naib Presiden Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dua Pesuruhjaya Suhakam menerima memorandum membantah salah guna kuasa polis yang diserahkan sekretariat #KitaLawan, hari ini.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kesal terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menggunakan Akta Hasutan 1948 ke atas penahan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar susulan kenyataannya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Pengerusinya Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, hak kebebasan bersuara di Dewan Rakyat tidak boleh dicabar atau menjadi asas kepada prosiding jenayah.

"Suhakam telah berulang kali melahirkan kebimbangan atas penggunaan Akta Hasutan oleh PDRM termasuk penahanan Adun pada 2014 dan terbaru ahli Parlimen susulan ucapan semasa persidangan.

"Kami menyeru pihak berkuasa menghormati dan menegakkan prinsip keistimewaan Parlimen dan Dun yang diberikan kepada wakil rakyat.

"Dalam demokrasi berparlimen adalah penting untuk wakil rakyat diberi jaminan dan hak untuk menyuarakan pendapat dan memberi pandangan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurul Izzah ditahan di Pusat Tahanan Reman Jinjang, Kuala Lumpur susulan kenyataannya pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu yang turut menyentuh sistem kehakiman negara di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Meskipun begitu, Suhakam mengiktiraf pengecualian kepada keistimewaan dan imuniti yang dinikmati ahli Parlimen seperti yang termaktub di bawah Perkara 63 (4) dan 72 (4) dalam Perlembagaan.

"Suhakam mengulangi pendirian bahawa adalah penting untuk pihak berkuasa memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap ahli Parlimen (yang melanggar) dengan mengambil kira sepenuhnya peruntukan sedia ada di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat  dan Dun.

"Namun, hak kebebasan bersuara harus dipertahankan di Parlimen pada setiap masa.

"...imuniti Parlimen bukan satu keistimewaan individu yang diberikan kepada Ahli Parlimen untuk kepentingan peribadi tetapi sebaliknya, satu keistimewaan untuk faedah dan kepentingan rakyat," katanya.