Khamis, 5 Mac 2015

Subramaniam mahu Palanivel ikut arahan

 
Ini umpama satu cerita sedih kerana kita (MIC) terlepas banyak peluang untuk menyelesaikan krisis ini.


Subramaniam_Palanivel_300Palanivel


KUALA LUMPUR : Krisis dalaman yang melanda parti Kongres India Malaysia (MIC) boleh diselesaikan segera sekiranya Presiden Parti, Datuk Seri G.Palanivel menurut arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 5 Disember lalu

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, akibat keenganan Palanivel itu, MIC terpaksa berhadapan proses pemilihan semula untuk semua jawatan bermula bulan hadapan.

Beliau berkata, keputusan itu terpaksa diambil kerana tempoh 90 hari yang diberikan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula jawatan tersebut berakhir hari ini.

“Ini umpama satu cerita sedih kerana kita (MIC) terlepas banyak peluang untuk menyelesaikan krisis ini.

“Pada masa yang sama semakin banyak aduan dikemukakan kepada ROS,” katanya semasa mengadakan taklimat media mengenai krisis MIC di ibu negara di sini hari ini.

Krisis dalaman MIC itu timbul setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC, pada November 2013, susulan aduan berlaku penyelewengan.

Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC supaya mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.

Beliau turut menegaskan, di sebalik saman yang dikemukakan kepada ROS, parti itu tetap akan menjalankan proses pemilihan semula

Dalam pada itu, Subramaniam yang juga merupakan Ahli Parlimen Segamat turut menempelak Palanivel yang bersifat tidak berpendirian.

Katanya, semasa berjumpa bersama Presiden Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Palaniel menyatakan akan menurut arahan ROS.

“Dalam masa yang sama beliau (Palanivel) mengemukakan saman kepada ROS,” katanya.

Tiada ulasan: