Rabu, 4 Mac 2015

Sirul anak yang baik, kata ibu

 THE MALAYSIAN INSIDER


Ibu kepada Sirul Azhar Umar, Piah Samad, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik. – Gambar The Malaysian Insider, 3 Mac, 2015. 
Ibu kepada Sirul Azhar Umar, Piah Samad, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik. – Gambar The Malaysian Insider.



Ibu kepada Sirul Azhar Umar, Piah Samad, menyifatkan anaknya yang merupakan bekas anggota Unit Tindakan Khas itu ialah seorang yang baik, lapor Harakah Daily.

Katanya, anaknya yang disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu itu tidak pernah menceritakan apa yang terjadi padanya sehingga beliau ditangkap pada 2006.

"Sirul ni budak baik, kerja dia jaga menteri. Semua tempat dia pergi. Dia tak ada cerita apa pun kat makcik sehinggalah dia ditangkap.

"Cuma sebelum dia ditangkap, dia ada balik kampung dan ziarah saudara-mara minta maaf," kata Piah, 72, kepada lidah rasmi PAS itu di Australia ketika bersama rombongan misi khas “See For (C4) Yourself” anjuran PAS itu. Piah yang ditemani adik perempuan Sirul, Noriatin, 37, dalam misi kemanusiaan itu disambut media Australia setibanya di Sydney pada 2 Mac, 11.30 pagi waktu tempatan.

Beliau tidak lupa membawakan makanan kegemaran anaknya, yang difahamkan berlepas ke Australia Oktober tahun lepas, sambal bilis dan rendang limpa.

Bagaimanapun, Piah terpaksa akur dengan undang-undang negara itu yang tidak membenarkan rendang limpa dibawa keluar dari lapangan terbangnya.

"Tak apalah, dah tak dapat bawa keluar, Sirul suka sangat rendang limpa ini. Nanti kita masak yang lain pula.

"Dapat bagi sambal ikan bilis ini pun dah elok sangat," katanya.

Dilaporkan, rombongan itu menetap di sebuah apartmen servis berhampiran pusat bandar Sydney.

Semalam, media Australia melaporkan ibu Sirul merayu kepada pihak berkuasa Australia melindungi anaknya, beberapa jam selepas tiba di Sydney bersama ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dan ketua biro antarabangsa parti itu, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Piah berkata kerajaan negara itu perlu memberi "perlindungan penuh" kepada anaknya, yang didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari 13 tahun ini.

"Adalah lebih (selamat) di Australia daripada pulang ke Malaysia," beliau dipetik sebagai berkata.

Isnin lalu, ketika ditanya sama ada Sirul akan mendedahkan lebih lanjut mengenai motif pembunuhan itu yang hingga sekarang masih belum diketahui, ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, ia terpulang kepada Sirul.

Rombongan misi khas itu dijangka pulang pada 7 Mac.

Tiada ulasan: