1MDB baru


SHAH ALAM – Tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A Kadir Jasin menggesa Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menyiasat segera akaun 1MDB sebelum bukti atau maklumat dihapuskan.

Menerusi tulisan di laman blognya semalam, beliau berkata, akaun 1MDB yang melibatkan urus niaga harus disiasat bermula tarikh penubuhannya sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) iaitu pada tahun 2008.

“Jika Ambrin Buang benar-benar berkuasa dan mempunyai kebebasan untuk menyiasat akaun 1MDB, beliau hendaklah dengan segera memecahkan ruyung sebelum maklumat dan bukti kering atau dirosakkan.

“Dia dan pihak yang terbabit seperti Polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC) perlu menyelidik akaun dan urus niaga syarikat tersebut,” katanya.

Beliau mendakwa, sejak dari awal lagi TIA atau 1MDB telah mewujudkan pembiayaan melalui hutang (debt financing) dengan meminjam dari dalam dan luar negara menggunakan khidmat orang tengah.

“Mengikut sumber yang mengetahui dan mengenali rapat pengasas-pengasas TIA atau 1MDB, pinjaman permulaan syarikat itu sebanyak RM5 bilion dikatakan merosot sebanyak RM500 juta secara “misteri” dalam masa tidak sampai setahun,” katanya.

6 Mac lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, pengauditan telus, bebas dan menyeluruh terhadap akaun 1MDB penting untuk membersihkan nama syarikat tersebut daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

Muhyiddin berkata, audit forensik hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urus niaga, seterusnya memulihkan reputasi dan mengembalikan keyakinan pelabur.

Katanya, audit itu perlu dibuat, ekoran tuduhan penyelewengan, termasuk usaha sama dengan PetroSaudi, dibuat berhubung urus niaga pada 2009, yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit firma Deloitte.