Khamis, 12 Mac 2015

Shafee Abdullah bakal dilantik sebagai Peguam Negara?

teo nie ching

Roketkini.com
 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri menjelaskan apakah Peguam Tan Sri Shafee Abdullah bakal dilantik Peguam Negara sebagai ganjaran ‘kejayaannya’ memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekarang kita sudah tahu bahawa Shafee telah dibayar sebanyak RM1,000 untuk khidmatnya sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes Anwar. Tapi adakah ia sekadar itu?

“Jika hanya itu saja perjanjian penuh (antara dirinya dan kerajaan), mengapa Nancy payah sangat untuk memberitahu jumlah sebenarnya pada tahun 2013 yang lalu?

“Terdapat khabar angin bahawa Shafee tidak lama lagi akan menggantikan Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara, Nancy perlu menjelaskan apakah spekulasi ini benar dan memberitahu apakah pelantikannya itu adalah sebahagian dari ganjaran kepada Shafee,” katanya.

Nancy, yang memegang portfolio undang-undang dalam sidang Parlimen semalam akhirnya mendedahkan bahawa Shafee dibayar RM1,000 sebagai Ketua Pendakwaraya sepanjang penglibatannya dalam kes Fitnah II Anwar.

Dalam sesi Parlimen pada November 2013, Nancy enggan menjawab pertanyaan tentang jumlah bayaran kepada Shafee apabila ditanya Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa.

Beliau kemudiannya dalam sesi penggulungan perbahasan pada 11 November tahun yang sama menyatakan bahawa jumlah bayaran itu tidak boleh didedahkan bagi menghormati etika perhubungan profesionalisme dan kerahsiaan antara peguam-anak guam.

Nie Ching ketika itu telah menegur kedegilan Nancy dengan menyatakan bahawa beliau sebenarnya salah faham tentang konsep kerahsiaan dan perhubungan profesionalisme antara peguam-anak guam.

“Kerahsiaan ini hanya diguna pakai dalam kes peguam mendedahkan butiran anak guamnya atau butiran kes, dan ia tidak digunapakai dalam pendedahan bayaran kos guaman yang dibuat pelanggan kepada peguam,” ujarnya.

Tegas Nie Ching, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz pada tahun 2011 langsung tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendedahkan kepadanya bahawa kerajaan telah membayar RM150,000 kepada Shafee untuk mewakili SPRM dalam kes Teoh Beng Hock.

Sehubungan itu, Nie Ching menggesa Nancy agar memohon maaf kepada Parlimen kepada memberikan jawapan yang salah pada tahun 2013.

“Saya gembira apabila Nancy akhirnya memperbetulkan kesilapannya walaupun terlambat lebih setahun.

“Tapi ia tidak harus berhenti di situ. Jika Nancy adalah seorang menteri yang mempunyai maruah, beliau perlu memohon maaf,” tegasnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: