Isnin, 23 Mac 2015

'Sejarah buktikan PAS boleh hidup sendirian'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata beliau yakin PAS boleh hidup tanpa PKR dan DAP jika ditakdirkan Pakatan Rakyat berpecah selepas ini ekoran ketegasan parti itu mahu melaksanakan hukum hudud.

Beliau berkata sepanjang berada dalam gabungan pembangkang itu, PAS beberapa kali disisihkan rakan sekutunya sehingga terpaksa berjuang bersendirian dalam pelbagai isu, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Dalam laporan itu juga, beliau berkata PAS akan meneruskan perjuangan membentang rang undang-undang berkaitan hudud ke Dewan Rakyat walaupun PKR dan DAP tidak menyokongnya.

"Kalau betul PKR pun tak nak bersama kita, kita terima hakikat. Kita tak boleh paksa dia ikut juga. Apa yang penting kita kena teruskan hudud sebab ini memang perjuangan PAS

"Andai Pas balik ke asal iaitu bersendirian pun kita terima hakikat, tetapi sejarah membuktikan kita tetap boleh `hidup’ walaupun sudah beberapa kali bersendirian,” katanya seperti dilapor akhbar itu.

Mohd Amar berkata jika PKR dan DAP terus membantah dan menghalang usaha parti Islam itu, maka tindakan tersebut tidak menguntungkan kedua-dua parti berkenaan.

Beliau yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud berkata bantahan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana hanya akan merugikan keseluruhan Pakatan Rakyat.

Kelmarin Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa parti itu tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian mengenai hudud yang akan dibawa oleh PAS sekiranya dibentangkan di Parlimen kerana keptuusan PAS itu dibuat secara "unilateral".

Manakala Setiausaha DAP LIm Guan Eng pula mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa pemimpin tertinggi parti itu sebagai melakukan "pengkhianatan bersiri"  ekoran kedegilan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud dan ketidakupayaan Abdul Hadi untuk mengotai janji-janjinya. 
 
 
 

Tiada ulasan: