Sabtu, 21 Mac 2015

Sampai bila berdemo bantah kes liwat?


Oleh RAYUSA



PERHIMPUNAN #KitaLawan di ibu kota, 7 Mac lalu adalah demonstrasi membantah yang keempat terhadap keputusan muktamad kes Liwat 2 yang membawa Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali ke Penjara Sungai Buloh.

Difahamkan perhimpunan yang bermula dari Pasar Seni, Masjid Jamek serta Ibu Pejabat PAS dan bertemu di kompleks beli-belah Sogo itu adalah kemuncak dan terakhir. Sebelum itu, perhimpunan dalam skala lebih kecil telah diadakan di kompleks beli-belah tersebut pada 14, 21 dan 28 Februari lalu.

Selain membantah keputusan kes Liwat 2, perhimpunan itu diadakan untuk memberi sokongan kepada Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun (maksimum) akibat kesalahan meliwat.

Pada kira-kira jam 3.45 petang, ketiga-tiga kumpulan itu bertemu dan berkumpul di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Turut serta dalam perhimpunan tersebuti ialah Naib Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar.
Anggota polis turut bertugas mengawal keadaan. Kumpulan itu kemudiannya bersurai pada jam 6.30 petang.

Ada yang menyebut jumlah peserta #KitaLawan seramai 10,000 orang. Ada pula yang mengatakan hanya 3,000 orang sahaja.

Bagi saya, sama ada 3,000 atau 10,000, hakikatnya yang melawan dan tidak puas hati masih ada.

Mereka yang turun ke jalan raya pada petang Sabtu itu boleh dianggap menyokong Anwar. Walau bagaimanapun, bukan pula bermakna mereka yang tidak turun rela dengan kezaliman terhadap mantan timbalan perdana menteri itu.

Mungkin mereka tidak ikut serta kerana beberapa hambatan.

Ertinya, dalam kalangan mereka yang tidak menyertai perhimpunan tersebut ada yang menyokong dan membantah. Memang tiada paksaan untuk ikut serta atau tidak. Lihat dengan mata hati dan fikirlah sendiri.

Yang tidak menyokong #KitaLawan memang menempelak perhimpunan tersebut dan melemparkan pelbagai kata nista.

Ada yang menyifatkannya tidak ubah seperti perhimpunan “syok sendiri” dan hanya menyusahkan orang ramai untuk bersantai pada hujung minggu.

Perhimpunan itu menyebabkan lalu lintas menghala ke ibu kota sesak teruk.

Justeru, kebanyakan pengguna media sosial menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana terpaksa berhujung minggu dalam situasi gawat itu.

Antaranya, seorang pengguna twitter dengan tanda nama @cinta4malaysia menulis, “Kurang sambutan #KitaLawan menunjukkan lebih ramai rakyat tolak himpunan #syoksendiri ini.”

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang dalam tweetnya @ tankengliang mencatatkan, “There are 30 million Malaysians. Those few thousand at PKR #KitaLawan demo don’t represent our country. Not even 0.01 percent. Stop causing chaos! (“Terdapat 30 juta rakyat Malaysia. Beberapa ribu di demonstrasi PKR#KitaLawan tidak mewakili negara kita. Tidak sampai 0.01 peratus. Hentikan huru-hara!”)

Pengguna twitter @ hisyamnawi pula menulis, “Demonstrasi jalanan seperti tak ada tamadun. Negara dah maju. Otak masih zaman batu #KitaLawan.”

Pengguna @amirulruslan mencatatkan dalam tweetnya, “What are people saying the #KitaLawan rally numbers are? 10k? In all honesty I’d say it’s closer to 3k-5k - if even that” (‘Apa yang orang kata tentang bilangan yang hadir dalam perhimpunan #KitaLawan? 10k? Secara jujur saya kata ia hampir 3k-5k - kalau pun sampai jumlah itu.”)

Bagi @theasyrafzabani pula, “Daripada #KitaLawan entah siapa di Sogo tu, baik #KitaLawan kebebalan diri sendiri yang tak sudah-sudah menjadikan diri alat kepada parti politik.”

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, perhimpunan “syok sendiri” yang diadakan oleh KeADILan itu tidak membawa sebarang makna dan impak kepada kerajaan.

Kata Razlan, itu semua cerita dongeng KeADILan. Rakyat, tambahnya, mahu ke hadapan dan rata-rata sudah bosan dengan permainan kepentingan KeADILan semata-mata.

Mereka yang membantah #KitaLawan boleh berkata apa sahaja. Namun, bak kata orang, jika tidak suka, semuanya salah belaka.

Bagi saya, #KitaLawan tidak “sepatutnya” diadakan lagi. Walau bagaimanapun, itu bukan bererti saya sudah tidak menyokong dan bersimpati dengan Anwar sekeluarga. Saya cuma bermaksud
sebarang demonstrasi berkaitan Anwar dan kes liwat sepatutnya telah berakhir. Sudah terlalu lama rakyat terpaksa menelan kebusukan kes yang memual dan memalukan ini.

Walau bagaimanapun, ini semua gara-gara kerajaan Umno-BN terlalu takutkan Anwar. Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan, serta hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari pada 26 Jun 2008.

Sepatutnya keputusan pada 10 Februari lalu menyelesaikan perkara tersebut.

Seperti yang saya katakan dalam artikel terdahulu sama ada Anwar dibebaskan atau dipenjarakan, itu adalah arahan “tangan ghaib.” Lantaran itu, kisah Anwar sekeluarga ini berterusan. Apatah lagi, kempen March to Freedom pula telah dilancarkan. Dengan Anwar meringkuk di penjara, cerita tersebut akan berterusan.

Demonstrasi memang perlu terus diadakan. Namun, bukanlah untuk Anwar sematamata sejak sekian lama. Banyak lagi isu lain yang lebih merakyat perlukan tenaga serta fikiran para demonstran dan reformis

Tiada ulasan: