Jumaat, 13 Mac 2015

Sabbaruddin terkejut dengan saman 1.1 bilion Deepak

Adam Abu Bakar


Sabbaruddin juga tidak pernah melihat surat tuntutan saman itu lagi, dan sewaktu dihubungi ia merupakan kali pertama beliau mengetahui tindakan Deepak itu.

sabaruddin chik, deepak


PETALING JAYA: Bekas pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik menzahirkan rasa terkejutnya atas tindakan usahawan permaidani Deepak Jaikishan yang akan mengambil tindakan saman dengan nilai sebanyak RM1.1 bilion.

Tindakan Deepak itu diambil ekoran pengeluaran sebuah buku yang berjudul ‘Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat’ dan ditulis oleh Shahbudin Husin.

Buku yang mengandungi mengandungi 26 bab dan diterbitkan oleh Special One Publication telah dilancarkan di Kuala Lumpur, pada 4 Mac lalu.

Sewaktu dihubungi Free Malaysia Today, Sabbaruddin yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menyatakan bahawa beliau langsung tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut.

“Saya tidak mendapat sebarang maklumat mengenai saman itu lagi,” katanya sewaktu dihubungi Free Malaysia Today (FMT) pagi tadi.

Ujar Sabbaruddin lagi, beliau sendiri tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan lawan kes tersebut kerana beliau tidak mempunyai wang yang banyak ekoran jumlah tuntutan saman sebanyak RM1.1 bilion.

“Macam mana saya nak bayar 1.1 bilion, saya juga mesti lawan. Takkan saya nak berdiam diri?” katanya lagi.

Tambah Sabbaruddin, beliau sendiri tidak pernah melihat surat tuntutan saman itu lagi dan sewaktu dihubungi ia merupakan kali pertama beliau mengetahui tindakan Deepak itu.

Portal The Malaysian Insider telah melaporkan, Deepak dalam permohonan injunksi secara ex-parte pada 6 Mac lalu telah menamakan Sabbaruddin dan juga pengarang buku Shahbudin Husin sebagai defendan.

Injunksi tersebut telah difailkan menerusi Tetuan Leela A Sanghrajka and Associates.

Bukan itu sahaja, Deepak dalam tuntutan injunksinya itu telah memohon agar menghentikan kedua-dua defendan daripada terus mencetak, menerbitkan, menghasilkan atau mengedar buku.

Buku tersebut antaranya mendedahkan skandal Bank Rakyat yang bernilai RM32 juta dan ia telah diceritakan dalam buku yang dijual dengan harga RM30.00.

Sewaktu pelancaran buku itu, Sabbaruddin menyatakan tujuan tujuan buku ini diterbitkan adalah untuk menegakkan keadilan bagi dirinya.

“Saya rasa ini tidak adil kepada saya dan mereka yang terlibat iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek telah menyalahguna kuasa,” dakwanya yang merujuk tindakan Hasan yang tidak menyambung kontrak Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat dan telah berakhir pada 8 April 2014.

Tiada ulasan: