Rangka pelan kurangkan kemalangan maut Laila Mazwin menunjukkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 yang dirangka untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.
 
 
 
PELAN Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 yang dilaksanakan kerajaan, menyasarkan pengurangan lebih 50 peratus bagi kadar kemalangan maut dalam kalangan pengguna jalan raya di negara ini.

Perinciannya dikongsi oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Perak, LAILA MAZWIN ZAKARIA bersama Wartawan Sinar Harian, NOOR’AINON MOHAMED YUSOF dalam satu pertemuan baru -baru ini.

Boleh puan jelaskan mengenai Pelan Keselamatan Jalan Raya ini?

JKJR dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) telah merangka pelan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi kerajaan lain serta pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Pelan ini dirangka untuk menangani semua isu keselamatan dalam negara dan ia berasaskan lima strategik bagi mencapai sasaran yang ditetapkan secara menyeluruh. Ia dirangka bagi meningkatkan usaha mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan.

Lima strategik dalam pelan terbabit adalah Pengurusan Keselamatan Jalan Raya, Mobiliti dan Jalan Raya Yang Lebih Selamat, Kenderaan Yang Lebih Selamat, Pengguna Jalan Raya Yang Lebih Selamat dan terakhir adalah Pengurusan Pasca Kemalangan.

Apakah langkah pertama diambil JKJR dalam melaksanakan Pengurusan Keselamatan Jalan Raya?

JKJR selaku agensi advokasi akan menyelaraskan pelaksanaan program keselamatan dan pelan tindakan. Bagaimanapun ia memerlukan kerjasama pelbagai agensi dan program bersepadu penguatkuasaan kerana setiap agensi mempunyai objektif dan bidang tugas masing-masing.

JKJR Perak menyasarkan lima agensi masing-masing daripada NGO, kerajaan dan swasta untuk bekerjasama dalam memberikan kesedaran keselamatan jalan raya ini sama ada kepada orang ramai, pekerja mereka sendiri mahupun saudara masing-masing.

Selain itu, pihak kita juga akan memberikan pendidikan kepada semua peringkat golongan termasuk kanak-kanak seawal tadika untuk menyerap kesedaran keselamatan sekali gus menjadi amalan mematuhi peraturan kepada mereka sehingga dewasa.

Bagi merealisasikannya, tadika di Kampung Atta Duri, Langkap, Teluk Intan dijadikan sebagai anak angkat JKJR setelah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri memberi kebenaran untuk mendidik kanak-kanak ini.

Penduduk kampung tersebut akan menjadi anggota keselamatan jalan dengan memakai jaket keselamatan. Selain menjadi contoh, dia juga akan menasihati sekiranya ada yang melakukan kesalahan. Program ini menjadi titik tolak terhadap keberkesanannya strategik itu nanti.

Bagaimana dengan Mobiliti dan Jalan Raya, adakah JKJR melihat dua aspek berkenaan merupakan penyumbang peningkatan kadar kemalangan jalan raya?


Perkara kecil boleh menjadi penyebab kemalangan dan JKJR memandang kesemua aspek untuk keselamatan pengguna jalan raya. JKJR sendiri akan memantau aduan melalui surat khabar mahupun pemantauan sendiri yang akan dipanjangkan ke jabatan terlibat dalam membaiki infrastruktur terbabit.

Aduan yang diterima sama ada pokok tumbang, lampu isyarat tidak berfungsi, cat di atas jalan yang pudar dan sebagainya. Sebagai langkah proaktif, pejabat kita menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) sebanyak lima aduan sebagai langkah terbaik mengesan punca yang boleh dijadikan isu keselamatan membabitkan kemalangan ini.

Selain infrastruktur, kondisi kenderaan juga perlu dititik beratkan. Selain kerap memeriksa kenderaan, penggunaan alat ganti tulen juga amat penting dalam perkara ini. Kita hanya boleh mengharapkan penggunaan topi keledar separuh dan pemasangan tali pinggang keledar perlu dikuatkuasakan dengan lebih ketat termasuk komponen kereta.

Pengguna jalan raya juga perlu mempunyai kesedaran setiap kali menaiki kenderaan. Kesedaran adalah faktor yang sukar untuk diterapkan kepada pengguna dan golongan berusia 16 hingga 35 tahun telah menyumbang kadar kematian yang tinggi.

Generasi Y ini memerlukan pendekatan teknologi seperti media sosial untuk menyampaikan kesedaran keselamatan ini. Program di sekolah diadakan berikutan pengguna motosikal merupakan pelajar sekolah.

Ramai pengguna tidak tahu menggunakan peralatan keselamatan antaranya kaedah meletakkan baby car seater menghadap ke hadapan menjadi pembunuh utama bayi walaupun sekadar berhenti secara mengejut.

Mencegah lebih baik dari mengubati, namun bagaimana pula dengan tindakan ketika kemalangan?

Ramai pengguna yang kebetulan berada di tempat kejadian tidak tahu bagaimana mahu beri pertolongan kecemasan kepada mangsa terlibat. Kerjasama daripada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan St John Ambulan untuk terlibat dalam menyampaikan ceramah pada program JKJR dapat membantu menyampaikan cara memberi pertolongan kecemasan ketika menyertai program bersama dengan JKJR.

Kita juga akan membawa mangsa menceritakan sendiri pengalaman mereka terlibat dalam kemalangan dan kesan dialami terutama mereka yang sebelum ini normal telah menjadi orang kurang upaya (OKU). Diharapkan dengan program sebegini dapat menarik perhatian orang ramai untuk lebih berhati-hati.

Apa harapan JKJR dalam melaksanakan pelan ini?

Saya berharap kesedaran pengguna jalan raya ini bukan disebabkan takut kepada penguatkuasaan, sebaliknya keperluan keselamatan diri dan orang lain berada di samping kita. JKJR sentiasa memikirkan keselamatan pengguna termasuk kemudahan fasiliti.

Sekiranya pengguna dapat tingkatkan kesedaran, itulah kejayaan besar untuk JKJR. Semua peringkat golongan perlu memainkan peranan menjadi pengguna berhemah dan sedikit sebanyak menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya seiring dengan negara maju lain.