Selasa, 24 Mac 2015

Rafizi: Kerajaan terlebih bayar jet RM109 juta

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan terlebih bayar sekurang-kurangnya RM109 juta untuk jet orang kenamaan model ACJ320 yang dibeli tahun lepas, dakwa PKR hari ini.

Kerajaan sepatutnya boleh membayar RM70 juta lebih murah daripada jumlah RM465 juta jika ia membeli terus daripada pemilik asalnya Air Luther AG, kata setiausaha agung PKR Rafizi Ramli.

Jet itu, yang dibeli melalui Jet Premiere One Malaysia, melalui kaedah sewa beli selama 15 tahun, tambahnya.

Selain itu, kata Rafizi lagi, Jet Premiere One membeli pesawat tersebut daripada Air Luther AG dengan harga RM39 juta lebih mahal daripada harga tertinggi yang dinilai pada jet yang telah terpakai selama empat tahun.

Dalam kenyataan bertulisnya, Rafizi berkata maklumat berhubung harga dan nilai pasaran jet peribadi itu boleh diperoleh daripada perunding penerbangan antarabangsa Ascend Flight Global Consultancy.

Malah, kata Raifiz, takrifan dan kaedah penilaian harga sesebuah jet atau helikopter boleh diperoleh di atas talian.

Rafizi berkata, siasatan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendapati, nilaian harga ACJ320 oleh Ascend Flight Global Consultancy seperti berikut:

  • Harga pasaran (half life market value) berdasarkan urusniaga terkini bagi jet sama model dan sama umur – AS$70.4 juta atau RM246.4 juta (pada kadar tukaran RM3.50 kepada AS$1).
     
  • Harga asas (half life base value) berdasarkan nilai ekonomi yang boleh dijana oleh jet sama model dan sama umur – AS$62.86 juta atau RM220 juta.

“Ini bermakna harga sebenar jet peribadi ACJ320 ini adalah di antara RM220 juta hingga RM246 juta,” kata pengasas NOW, NGO pendedah maklumat.

Beliau menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kerana perkara itu boleh berlaku.

“Keseluruhannya, bukan sahaja pembelian jet peribadi baru ACJ320 ini adalah membazir, ia juga dibuat pada kos yang jauh lebih tinggi dari harga nilaian maksimum jet itu,” katanya yang juga anggota Parlimen Pandan.

Tiada ulasan: