Rabu, 25 Mac 2015

Putus hubungan dengan Hadi bukan penyelesaian terbaik - Salahuddin

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic



SHAH ALAM: Langkah DAP memutuskan semua hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran tindakan 'unilateral' ulama itu bersabit isu hudud, bukan jalan penyelesaian terbaik untuk menangani pertikaian membabitkan kedua-dua parti.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, walaupun DAP sukar menerima hasrat PAS mahu melaksanakan hudud di Kelantan, sewajarnya isu berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat (PR).

"Saya masih yakin dan percaya melalui pengalaman suka duka bersama PR, sebesar mana dan sekusut mana pun masalah yang pernah didepani, medan atau platform terbaik untuk berbincang dan membuat keputusan secara kolektif ialah Mesyuarat Majlis Tertinggi PR.

"Oleh yang demikian saya yakin rakan-rakan dalam PR akan berusaha untuk kita mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincang dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Salahuddin berkata, tindakan DAP yang mahu memutuskan hubungan dengan Hadi dan pada masa sama ingin kekal bersama PR, adalah sesuatu yang sangat rumit dan sukar diterima.

"Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah presiden saya dan presiden lebih satu juta ahli PAS. Adalah rumit dan sukar bagi saya untuk menerima keputusan DAP yang mahu memutuskan hubungan TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) tetapi mahu terus kekal dengan PAS dan PR," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu enggan mengulas lanjut dan memaklumkan masih belum membaca kenyataan rakan sekutunya itu.

DAP terdahulu mengumumkan untuk memutuskan semua hubungan dengan Hadi, namun tidak akan keluar daripada PR buat masa ini.

Keputusan tersebut yang dibuat setelah perbincangan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), malam tadi, adalah disebabkan ketidakjujuran ulama berkenaan bersabit isu hudud, selain beberapa isu lain yang didakwa sebagai 'pengkhianatan' terhadap PR.  

Hadi juga diseru meninggalkan PR sekiranya masih bertegas mahu membentangkan rang undang-undang persendirian berkenaan hudud di Parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sekiranya ahli Parlimen Marang itu masih mahu meneruskannya, beliau harus melaksanakannya sebagai ahli Parlimen dan bukan sebagai anggota PR.

Tiada ulasan: