Rabu, 25 Mac 2015

Pusat Berita Bersepadu RTM membazir wang – Nur Jazlan

 
Pembinaan tidak mengikut keperluan dan mencapai objektif projek kerana ada bangunan tetapi tiada peralatan.


nur jazlan



KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pembinaan Pusat Berita Bersepadu di bawah seliaan RTM yang dilabel sebagai tidak bermutu.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pembinaan pusat itu tidak mengikut keperluan mahupun objektif projek tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati “pembinaan pusat berita itu hanya bangunan siap tanpa peralatan di dalamnya bagi menjadikannya sebagai pusat berita.”

“Sekarang ini, pusat berita itu hanya digunakan sebagai pejabat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat projek pembinaan Pusat Berita Bersepadu RTM di Parlimen hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, audit Jabatan Audit Negara dari November hingga Disember 2013 mendapati, kontraktor utama telah dianugerahkan semula kontrak walaupun gagal dalam penilaian teknikal peringkat kedua.

“Kualiti kerja pembinaan juga kurang memuaskan,” tegasnya.

Nur Jazlan berkata, PAC turut tidak berpuas hati dari segi dana yang dikeluarkan untuk membina bangunan tersebut yang disifatkannya sebagai “membawa kepada pembaziran kerana membina bangunan tanpa peralatan.”

“Mereka disediakan dana sebanyak RM90 juta untuk pembinaan bangunan itu dan sekarang minta penambahan RM126 juta bagi pengisian peralatan yang membolehkan pusat itu berfungsi sebagai pusat berita.”

Tiada ulasan: