Khamis, 26 Mac 2015

PRU-14: DAP Hilang Undi PAS?


Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
 
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
 
 
 
KUALA LUMPUR: Akibat sikap DAP yang menentang keras pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, parti itu mungkin kehilangan undi daripada ahli dan penyokong PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Peringatan keras itu dibuat Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan berterusan kepimpinan DAP memfitnah dan menghina Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah tindakan provokatif melampau terhadap PAS.

"Saya bimbang dengan tindakan berterusan DAP menyerang, memfitnah dan menghina presiden PAS dan terlalu keras menentang usaha mendaulatkan undang-undang Islam boleh menyebabkan hilangnya segala alasan syarie beragama untuk ahli PAS bekerjasama dan mengundi DAP dalam pilihanraya.

“Saya menasihatkan DAP agar lebih berhemah dan tidak lagi meneruskan kenyataan provokatif terhadap PAS khususnya presiden PAS jika PR masih diharapkan menjadi medium bersama menentang segala ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan kegagalan pentadbiran Barisan Nasional,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengingatkan DAP bahawa kerjasama politik yang terjalin antara mereka dalam pakatan pembangkang dibuat berdasarkan prinsip yang dibenarkan Islam.

“Bagaimanapun isu hudud yang dibangkitkan DAP memperlihatkan wajahnya yang sebenar dalam menentang sebarang usaha mendaulatkan undang-undang Islam sehingga melupakan prinsip bersama pakatan iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.

"Perlu diingat bahawa PAS melakarkan segala gerak kerja dan strategi politiknya dengan merujuk kepada prinsip Islam. Kerjasama politik dengan DAP dibenarkan berasaskan prinsip dan syarat yang digariskan oleh Islam antaranya iaitu kerjasama membuka laluan memperkuatkan Islam.

"Begitulah juga PAS membincangkan perihal hukum mengundi calon pilihanraya bukan Islam dari parti sekular sosialis seperti DAP dengan merujuk kepada prinsip-prinsip Islam,” katanya.

Selain itu, Mohd Khairuddin turut mempersoalkan layanan tidak adil DAP terhadap PAS khususnya berhubung ‘langkah Kajang’ yang dicipta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Peliknya tindakan bersendiri PKR dalam ‘langkah Kajang' tidak pula dikatakan membelakangi pakatan.

"Memecat Tan Sri (Abdul) Khalid (Ibrahim) untuk membuangnya daripada jawatan menteri besar tanpa persetujuan bersama PAS tidak pula dikira khianat,” katanya.

Isu hudud menjadi punca keretakan hubungan tiga komponen pembangkang apabila DAP dan PKR membantah tindakan PAS dalam menegakkan undang-undang Islam itu.

Pada 18 Mac lalu, Hadi menyerahkan notis pemberitahuan mengenai hudud kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Notis berkenaan dihantar sehari sebelum undang-undang hudud itu diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu.

Dilaporkan Hadi dijangka membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat pada April ini bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 dilaksanakan di Kelantan.

Tiada ulasan: