Khamis, 19 Mac 2015

Protes duduk seminggu desak pecat IGP

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ekoran siri penangkapan membabitkan para penganjur perhimpunan 'Kita Lawan' anjuran Pakatan Rakyat, satu kempen dilancarkan hari ini untuk mendesak pemecatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

ADUN PKR yang juga penganjur bersama 'Kita Lawan', Chang Lih Kang berkata selama seminggu, protes duduk 24 jam itu akan diadakan di Dataran Merdeka dari 21 Mac hingga 28 Mac.

Katanya, negara ini tidak akan bebas selagi IGP yang didakwanya tidak profesional, kekal dalam jawatannya.

Ketua ketua polis negara itu, tambahnya, patut bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan polis yang didakwanya melanggar hak rakyat.

Chang berkata demikian dalam satu sidang akhbar di ibupejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mendakwa, di bawah kepimpinan Khalid, polis telah digunakan sebagai alat untuk "menindas suara pembangkang," sambil menegaskan bahawa sejak perhimpunan pertama pada 7 Mac, polis telah menahan 10 aktivis dan pemimpin pembangkang.

"Mengambil tindakan terhadap peserta perhimpunan aman adalah melanggar hak asasi manusia untuk mengadakan perhimpunan aman seperti termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat sertai Perlembagaan Persekutuan kita sendiri," katanya.

Chang berkata ia mungkin bukan salah pegawai yang melakukan tangkapan kerana arahannya datang dari Khalid sendiri.

"Kita tahu mereka yang menyertai pasukan polis berbuat demikian kerana mahu menjaga keselamatan negara," katanya sambil mendakwa bahawa tindakan IGP itu telah mencemarkan nama dan maruah pasukan polis.

Dengan diapit oleh penganjur bersama 'Kita Lawan' yang lain seperti Syukri Razab dari Suaram dan Bendahari Pemuda PAS, Mohd Fakhrul Razi, Chang mendakwa polis jelas mengamalkan "double standard" dengan hanya menangkap suara yang menentang.

Protes duduk itu akan bermula Sabtu ini di Dataran Merdeka selepas perhimpunan mingguan 'Kita Lawan' di pusat membeli-belah Sogo. [Baca berita penuh/asal]

 

 

Tiada ulasan: