air Laporan Sinar Harian, 10 Mac lalu.
 
 
 
SHAH ALAM - Projek Langat 2 akan diteruskan dengan syarat pemaju mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerajaan negeri meminta supaya pihak pemaju memenuhi syarat-syarat pemajuan yang ditetapkan iaitu berkaitan pengambilan tanah dan kelulusan kebenaran merancang, kelulusan kerja tanah, kelulusan bangunan dan lain-lain.

“Kerajaan negeri juga menitikberatkan aspek ketelusan dalam melantik syarikat dengan cara tender terbuka serta teknologi yang diguna pakai tidak menyebabkan kos projek menjadi sangat tinggi.

“Kos yang tinggi boleh memberi kesan kepada pengguna hingga menyebabkan kadar tarif menjadi tinggi. Kita tidak mahu pengguna (rakyat) akan menanggung kesannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam, ketika mengulas lanjut isu air di negeri ini.

Beliau yang juga Adun Taman Templer berkata, bagi tujuan jangka masa panjang, kerajaan negeri turut mencari alternatif lain seperti penyaluran air dari Sungai Bernaw dan kolam takungan horas 3000.

“Langkah alternatif ini adalah persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku di negeri ini.

“Kerajaan negeri masih kekal dengan dasar ‘pembangunan berkualiti rakyat dipeduli’ yang amat menitikberatkan kepentingan rakyat dan ianya tidak akan diketepikan sama sekali,” katanya.