Rabu, 4 Mac 2015

Polis akan bertindak terhadap peserta #Kita lawan Sabtu ini

 
Orang lain pun ada hak asasi mereka. Perhimpunan yang berlaku jejaskan ketenteraman awam.


Gari Polis


KUALA LUMPUR : Polis hari ini memberi amaran akan menangkap peserta perhimpunan haram #KitaLawan yang akan diadakan pada Sabtu ini di perkarangan Kompleks Membeli Belah Sogo.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah menegaskan, perhimpunan yang dianjurkan itu tidak mengikut lunas undang-undang.

“Mengikut undang-undang, mereka (penganjur) perlu mengedarkan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Walaubagaimanapun, dalam perkara ini tidak ada notis diberikan kepada saya.

“Mereka yang hadir dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang ini, siasatan akan dijalankan dan seterusnya pihak polis akan mengambil tindakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur diketuai Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, pihak penganjur perlu bertanggungjawab terhadap segala perkara yang berlaku dalam perhimpunan itu.

Zainol menambah, pihak kompleks Membeli Belah Sogo itu juga baru-baru ini telah membuat laporan polis untuk tidak membenarkan tempat mereka dijadikan tempat perhimpunan.

Tambahnya, pihaknya sedar hak mereka untuk mengadakan perhimpunan di bawah perlembagaan tetapi negara ini mempunyai peraturan khusus berkenaan perhimpunan.

“Perhimpunan yang berlaku ini telah jejaskan ketenteraman awam dan kesannya kepada mereka. Orang lain pun ada hak asasi mereka,” katanya.

Terdahulu, AMK dalam sidang medianya menyatakan sokongan terhadap himpunan #KitaLawan yang akan diadakan Sabtu ini.

Nik Nazmi berkata kepimpinan AMK akan berkumpul di Masjid Jamek, iaitu salah satu daripada tiga lokasi di mana dua lokasi yang lain adalah di Pasar Seni dan Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut sebelum bergerak menuju ke Sogo.

Tiada ulasan: