Rabu, 18 Mac 2015

PM Beri Mandat Kepada KeTTHA Selesai Isu Air Dengan Kerajaan Selangor


MSTAR ONLINE


Najib
Najib Tun Razak.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan air (KeTTHA) telah menerima mandat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan apa sahaja yang perlu bagi menyelesaikan isu air dengan Kerajaan Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kementerian juga akan terus terlibat dengan Kerajaan Selangor untuk menyambung semula rundingan.

"Kami telahpun menerima mandat daripada PM (Perdana Menteri) untuk melakukan apa yang perlu dan meneruskan usaha (berurusan dengan Selangor).

"Kami sepatutnya mengadakan mesyuarat antara kedua-dua pihak di peringkat pegawai minggu ini... (tetapi) sekarang kami masih menunggu maklum balas," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Profesional Muda berkaitan Air Malaysia 2015 Persatuan Air Antarabangsa (IWA) di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali yang meminta bantuan perdana menteri bagi menyelesaikan isu penstrukturan air di negeri itu.

Ongkili berkata, kementerian yakin bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor boleh duduk semeja dan menyelesaikan semua perbalahan ke arah merealisasikan Perjanjian Utama.

"Kami (kerajaan persekutuan) masih mahu menangani beberapa salah interpretasi dalam perjanjian," katanya.

Pada 9 Mac, Azmin berkata kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan perjanjian kerana mendakwa kerajaan persekutuan telah melanggar terma-terma perjanjian utama yang ditandatangani pada 12 September, tahun lepas.

Keputusan itu dikhuatiri akan menjejaskan pembinaan fasa satu projek Loji Rawatan Air Langat 2, yang dijangka siap pada 2017 untuk memenuhi peningkatan permintaan untuk air yang dirawat di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya.

Bagaimanapun, kementerian pada Selasa dilaporkan sebagai berkata pelaksanaan penstrukturan semula air di Selangor telah ditunda kerana kerajaan negeri enggan menyelesaikan tiga daripada lapan terma perjanjian utama dengan kerajaan persekutuan termasuk isu tanah.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Ongkili menggesa ahli profesional muda dan pakar tempatan supaya memanfaatkan hasil penyelidikan berkaitan air ke dalam aplikasi praktikal yang akhirnya akan membawa kepada kesinambungan sektor air, terutama di negara membangun dan negara kurang maju.

"Sebagai sebuah negara, Malaysia telah mencatat pencapaian luar biasa dalam menyediakan air minum yang bersih dan selamat serta sanitasi yang sesuai untuk rakyatnya, baik dari segi kuantiti mahupun kualiti.

"Selain itu, rundingan penstrukturan air yang dijalankan sekarang akan mempertingkatkan lagi pengurusan sektor air pada landasan yang mampan, prasyarat bagi merealisasikan aspirasi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Persidangan kedua anjuran Universiti Teknologi Malaysia bersama IWA dan Persatuan Air Malaysia bertujuan mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian kepada permasalahaan air khususnya di Malaysia.

Lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara menyertai persidangan yang berlangsung bermula Selasa hingga Jumaat.

Tiada ulasan: