Sabtu, 28 Mac 2015

Pindaan hudud: PAS Kelantan minta mana-mana pihak henti beri kenyataan

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Pihak luar termasuk peguam digesa berhenti mengelirukan masyarakat berhubung rancangan PAS Kelantan yang mahu mengusulkan dan meminda Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat nanti.
 
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebaliknya menegaskan, apa yang mahu dibuat oleh PAS Kelantan itu ialah untuk melaksanakan hudud di negeri berkenaan dengan meminda akta berhubung mahkamah syariah dan bukannya Perlembagaan Persekutuan.
 
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang tidak arif tentang perkara ini berhenti memberi kenyataan selagi mereka tidak mendalami dahulu perkara-perkara yang membabitkan Akta 355 dan Mahkamah Syariah.
 
"Dia tidak perlu 2/3 sebab kita perlu majoriti mudah sahaja. Pertama ialah pinda Akta 355, kedua memohon kebenaran di bawah Perkara 76 (A), semua ini tidak melibatkan pindaan perlembagaan, yang memerlukan 2/3 majoriti itu hanya kalau kita hendak pinda perlembagaan.
 
"Yang pertama kita hendak bawa Akta 355 dulu, perkara 76 (A) belum lagi, yang 76 (A) itu tidak tahu bila lagi. Yang kita hendak mula dulu dengan 355 dulu sebab kalau 355 lulus, empat daripada enam kesalahan syariah itu sudah boleh dilaksanakan.
 
"Kita ada enam kesalahan hudud kan, jadi kalau 355 sudah dipinda, empat daripada hukuman kesalahan di bawah kanun hudud sudah boleh dilaksanakan," katanya.
 
"Sebab itu saya kata mereka ini tidak tahu apa yang mereka cakap, mereka tidak tahu apa yang kita (PAS Kelantan) hendak buat. Itu yang menjadi masalah itu.
 
"Masing-masing bagi komen atas perkara yang mereka tidak faham sangat dan tidak tahu, menambahkan kekeliruan lagi ada mereka-mereka ini, sepatutnya tanya dulu PAS Kelantan apa hendak buat, bukan terus bagi komen, ini tidak, mereka terus komen tapi tidak tahu apa yang hendak dibuat," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.
 
Beliau mengulas beberapa kenyataan daripada penganalisis politik dan pengamal undang-undang yang kini sudah mula lantang menyuarakan bahawa enakmen hudud tetap memerlukan 2/3 majoriti untuk diluluskan oleh Speaker di Dewan Rakyat.
 
Amar bagaimanapun menegaskan apa yang akan dibawa oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah Akta 355 terlebih dahulu dan tidak ada kena-mengena dengan apa yang dibahaskan oleh mereka di luar sana.
 
"Yang ini tidak ada pun hendak pinda perlembagaan.
 
"Yang pertamanya hendak pinda Akta 355, semua bidang kuasa mahkamah kita hendak luaskan bidang kuasa. Sebabnya sekarang Mahkamah Syariah terikat dengan Akta 355 atau dikenali sebagai (365), jadi rang undang-undang untuk Akta 355 ini memberikan kuasa yang lebih.
 
"Mahkamah syariah menghukum kehendak syarak, sementara yang satu lagi kita hendak meminta kebenaran parlimen untuk perkara 76 (A) 1 itu yang melibatkan hukuman potong tangan, mencuri dan hukuman bunuh. Sebab itu, di bawah bidang kuasa persekutuan," katanya.
 
"Bagi saya dia (Ahli Parlimen, Nazri Aziz) tidak faham, itu sahaja, kalau pinda perlembagaan memang betul memerlukan 2/3, itu kita pun setuju tetapi kita bukan hendak pinda perlembagaan, kita hanya memohon kebenaran di bawah perkara 76 (A) bukannya hendak pinda perkara 76 (A) tetapi kita memohon kebenaran, dia ada beza perkara itu," katanya.
 
Semalam, bekas menteri undang-undang, Datuk Seri Nazri Aziz berpendapat undang-undang hudud tidak akan dapat dilaksanakan di negara ini, dan mereka yang membincangkannya adalah individu yang "bodoh".
 
Nazri, yang juga menteri pelancongan berkata, undang-undang Islam itu hanya akan dapat dilaksanakan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan, yang mana memerlukan majoriti dua pertiga majoriti Parlimen.
 
Selain Nazri, Penganalisis Politik, Dr. Azizuddin Md Sani turut memberikan pandangan yang sama dengan bekas menteri undang-undang itu sekali gus membayangkan PAS Kelantan melalui jalan yang sukar untuk mendapatkan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat sekiranya mahu melaksanakan hudud di negeri itu.
 
 

Tiada ulasan: