Rabu, 11 Mac 2015

Petisyen White House: Kenapa sekejap ada, sekejap tak ada?

WHITE HOUSE

  Oleh ANAK MAMI DI PERANTAUAN


Ada banyak persoalan tentang petisyen kepada White House bagi meminta Amerika menjadikan isu tahanan politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai isu penting dalam hubungan dua halanya dengan Malaysia.

Ini termasuklah ‘kenapa mahu Amerika campur tangan urusan dalam negara?’ yang menjadi pokok persoalan petisyen anti-Anwar dan pro-BN yang satu lagi di laman web White House itu.

Ya, kalau-kalau anda tak sedar, ada dua petisyen: Petisyen pro-Anwar dimulakan oleh bekas Duta Besar Amerika John Malott; manakala petisyen yang satu lagi itu entah kutu pro-BN mana lah yang bikin.

Dan ada semacam satu perlumbaan antara kedua-dua kempen memungut tandatangan ini, kerana kedua-duanya perlu melepasi takat 100,000 tandatangan untuk diambil serius oleh pihak White House.

Malangnya, kutu-kutu yang bikin petisyen pro-BN sudah cuba memintas sistem dan menambah bilangan tandatangan secara salah.

Ini disedari pengurus sistem tersebut di White House yang memantau perlumbaan antara dua petisyen ini yang merupakan antara beberapa petisyen mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Begitu kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat melalui laman Facebooknya.

Maka menyedari semacam ada yang tidak kena dengan tandatangan tersebut, mereka telah membuang kedua-dua petisyen sekali dalam rangka menyiasat dan menyaring tandatangan palsu yang telah digunakan oleh kutu-kutu BN bagi merancakkan petisyen mereka.

Ketika portal The Rakyat Post melaporkan bahawa bilangan tandatangan di petisyen pro-BN itu telah memintas petisyen pro-Anwar, bilangan tandatangan di petisyen pro-BN telah mencecah lebih 60 ribu.

Tiba-tiba, hari ini, selepas Kedutaan Amerika memaklumkan bahawa pihak White House telah menyaring kesemua tandatangan palsu, petisyen pro-BN itu hanya mempunyai sekitar 12 ribu tandatangan sahaja.

Pada masa yang sama, petisyen pro-Anwar telah kembali beroperasi dengan tiada langsung pengurangan bilangan tandatangan, kerana tidak wujud sebarang pemalsuan. Malah, ia berjaya pula mencecah takat 100,000 tandatangan tiga jam selepas ia kembali beroperasi pada tengah malam semalam.

Juak-juak dan kutu-kutu Umno/BN jenuh meroyan tiga suku nyawa menuduh kononnya Red Bean Army digunakan untuk menambah bilangan tandatangan petisyen pro-Anwar, maka sebab itu ia dibuang oleh White House.

Penyudahnya, petisyen dia sendiri yang dibuktikan penuh dengan tandatangan palsu, dan kini dia hanya ada sekitar 12 ribu tandatangan. Malu jenis ini, nak sorok muka di mana? Memang kalau bukan kerjanya menipu, memutarbelit dan menyalahguna, bukan BN lah namanya.

Ini juga menimbulkan persoalan kepada demikian banyak lagi petisyen dan pungutan suara oleh pihak BN yang dibuat secara menipu begini.

Begini jugakah mereka mewujudkan pengundi-pengundi hantu, dengan membawa masuk warga asing di Sabah dan diberikan kerakyatan? Dengan cara musllihat begini jugakah BN menipu kita dengan angka dan bilangan sokongan mereka yang kononnya ramai?

Terbukti dalam pilihanraya lalu, meski mendapat hanya 47% undi popular mereka masih kekal sebagai kerajaan.

Dan kini pula mereka sanggup menipu tandatangan, hanya untuk menunjukkan kononnya orang ramai sudah tidak percaya dan tidak lagi menuntut keadilan buat Anwar.

Cukuplah dengan menipu makcik-pakcik di Felda yang hanya tengok televisyen kerajaan dan baca surat khabar milik Umno. Takkan sistem White House pun kau nak kelentong? – Roketkini.com


Tiada ulasan: