Isnin, 16 Mac 2015

Petisyen bebaskan Anwar sasar sejuta tandatangan

MALAYSIAKINI


 
 
 
Pakatan Rakyat akan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi merayu pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Petisyen itu digelar sebagai 'Petisyen Rakyat' dan gabungan tersebut mensasarkan untuk mengumpulkan satu juta tandatangan rakyat Malaysia.
 
Proses pengumpulan tandatangan itu akan berlangsung sehingga 1 Mei, dan selepas itu petisyen berkenaan akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri).
 
Katanya, inisiatif membuat petisyen bagi mengumpul sejuta tandatangan rakyat itu adalah sebagai usaha untuk merayu kepada Seri Paduka menggunakan kuasa-kuasa baginda bagi membebaskan Anwar.
 
Bercakap dalam satu sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat hari ini, Shamsul berkata satu "perhimpunan" juga akan diadakan pada 1 Mei, sempena berakhirnya pengumpulan tandatangan tersebut.
 
Ahli Parlimen pembangkang yang lain turut hadir semasa pelancaran petisyen itu ialah Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong.
 
Hanipa berkata petisyen itu akan membolehkan rakyat untuk mengutuk penganiayaan politik terhadap Anwar.
 
"Kerajaan tidak boleh lari daripada persepsi bahawa pendakwaan ini bermotifkan politik, terutamanya dengan penglibatan Tan Sri Muhammad Shafee (Abdullah sebagai pendakwa utama)," katanya.
 
Petisyen itu juga akan menyaksikan pakatan pembangkang bekerja sama dengan NGO bagi mencapai matlamat mengumpul satu juta tandatangan. Mewakili pihak NGO ialah Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack dan aktivis Datuk A Samad Said ( kanan ).
 
 

Tiada ulasan: